Untung bersih CelcomDigi naik 1.9% pada 1QFY25 kepada RM383.78 juta

22/05/2025 - 15:40
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 22 Mei – Untung bersih CelcomDigi Bhd pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), mencatatkan peningkatan kecil 1.9% kepada RM383.78 juta berbanding RM376.46 juta tahun sebelumnya, disokong pengurusan kos berhemat, susut nilai, dan pelunasan yang lebih rendah.
Sejajar prestasi tersebut, pendapatan sesaham (EPS) naik kepada 3.27 sen berbanding 3.21 sen bagi 1QFY24.
Syarikat itu turut mengisytiharkan dividen interim pertama 3.7 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), yang akan dibayar pada 30 Jun ini.
Hasil suku tersebut turut meningkat 1.2% kepada RM3.21 bilion daripada RM3.17 bilion pada 1QFY24, disumbang hasil peranti lebih tinggi menerusi jualan pakej peranti.
CelcomDigi menambah 190,000 pelanggan baharu atau 0.93% tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan pelanggan mencecah 20.6 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hasil pascabayar serta rumah dan gentian terus mencatat pertumbuhan, disokong kenaikan pelanggan. Pelanggan rumah dan gentian meningkat 56% kepada 227,000.
Namun, hasil perkhidmatan merosot 1.2% kepada RM2.69 bilion berikutan penamatan jualan SIM prabayar sekali sahaja dan kelewatan hasil daripada perkhidmatan rumusan.
CelcomDigi menjangka prestasi kewangan dan pasaran bertambah kukuh tahun ini kerana kebanyakan kos penyepaduan dan pelarasan sekali sahaja telah diselesaikan tahun lalu serta terus memperkukuh kedudukan pasaran dan memacu pertumbuhan jangka panjang.
Fokus utama termasuk memperkemas model operasi bagi meningkatkan pengalaman pelanggan melalui perkhidmatan digital bernilai tambah serta menambah baik kecekapan operasi dengan pengoptimuman struktur kos.
Setakat ini, 78% kerja penyepaduan dan pemodenan rangkaian telah disiapkan, termasuk kejayaan fasa pertama penyelarasan sistem pengebilan dan pengurusan pelanggan teras Celcom dan Digi.
Kemajuan dalam transformasi runcit dengan 52 kedai dimodenkan lebih awal daripada jadual, sekali gus meningkatkan produktiviti jualan di premis konsep baharu.
Syarikat mengekalkan unjuran pertumbuhan hasil perkhidmatan dalam lingkungan rendah satu angka bagi tahun ini, manakala Ebit dijangka berkembang antara rendah ke sederhana satu angka. Nisbah perbelanjaan modal kepada jumlah hasil diunjur antara 14% hingga 16%.
Saham CelcomDigi kekal pada RM3.90 ketika rehat tengah hari Khamis, dengan modal pasaran RM45.75 bilion. Setakat tahun ini, sahamnya telah naik 6.9%.- DagangNews.com
standard

