Untung tak dapat, modal jual rumah ‘hangus’

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 8:37 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Untung tak dapat, modal jual rumah ‘hangus’

 

TELUK INTAN – Seorang pesara warga emas berusia 73 tahun kerugian RM132,590 setelah terperdaya dengan penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing (forex) yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa kelmarin.

Beliau berkata, sebahagian daripada wang pelaburan tersebut diperoleh melalui hasil jualan rumah milik mangsa.

“Siasatan awal pihak polis mendapati bahawa mangsa diperkenalkan dengan satu skim pelaburan forex oleh seorang kenalan yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut telah mula menyertai skim pelaburan berkenaan pada 4 Julai 2026,” katanya di sini hari ini.

Kok Lian berkata, disebabkan terpedaya dengan janji pulangan keuntungan lumayan, mangsa telah membuat pelaburan secara berperingkat dalam tempoh kira-kira dua bulan sehingga melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM132,590.

Katanya, mangsa mula menyedari dirinya dipercayai telah ditipu apabila sistem pelaburan berkenaan tidak lagi dapat diakses pada 14 September lalu.

“Mangsa juga tidak menerima sebarang keuntungan mahupun pemulangan modal seperti yang dijanjikan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Kok Lian berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kegiatan penipuan tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Untung tak dapat, modal jual rumah ‘hangus’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved