
BAHASA Inggeris sebagai bahasa yang tidak boleh ditandingi langsung oleh mana-mana bahasa lain, sebagai wadah internet dan digitalisasi yang utama, sesungguhnya telah banyak mempengaruhi cara manusia di seluruh dunia bertindak dalam era digitalisasi dan zaman internet.
Antaranya dalam mereka berkomunikasi, selain mempelajari dan membina teknologi, seperti mewujudkan pemprograman yang rata-ratanya menggunakan bahasa Inggeris.
Sehubungan ini, tidak dapat dinafikan lagi bahawa bahasa Inggeris bukan sahaja sangat superior, juga penuh dengan prestij dalam soal digital dan internet, di samping banyak yang lain-lainnya.
Ini dapat dilihat dengan jelas apabila bahasa selain bahasa Inggeris diguna pakai, ia bukan sahaja dipandang inferior, juga ditanggapi sebagai akan tidak berupaya untuk meraih kejayaan.
Sesungguhnya walaupun bahasa Inggeris memacu kandungan internet, pembangunan perisian dan media sosial, era digital dan zaman internet tidak sesekali memerlukan bahasa Inggeris sahaja, sebagai pergantungan tunggalnya.
Ini kerana meskipun bahasa Inggeris mendominasi sekitar separuh daripada kandungan internet sejagat dan banyak pemprograman digital, pelbagai perkara sebenarnya boleh dilakukan untuk memecahkan monopoli dan pembolotan oleh bahasa Inggeris.
Antara perkara itu termasuklah alat terjemahan kecerdasan buatan moden, laman sesawang pelbagai bahasa dan dasar kandungan tempatan. Kesemua ini sebenarnya boleh digunakan untuk memastikan bahasa lain boleh ikut menjadi penting dalam era digital dan zaman internet.
Dalam hal ini, kini dengan adanya perkembangan pesat lagi canggih dalam bidang kecerdasan buatan, peralatan terjemahan pada waktu sebenar dan pemprosesan bahasa tabii, kesemua ini sebenarnya membuka banyak ruang dan memberi kesempatan untuk penggunaan pelbagai bahasa lain.
Dengan ini, bahasa lain selain bahasa Inggeris sebagai satu-satunya lingua franca, yakni bahasa perhubungan dalam soal digitalisasi dan internet, boleh ikut digunakan dengan jayanya.
Berikutan perkembangan positif ini, Malaysia hendaklah memanfaatkan pengupayaan tempatan, iaitu penggunaan kuasa yang kita miliki bagi mendayakan entiti kendiri untuk menentukan masa hadapan sendiri.
Dengan ini, kerajaan bersama-sama dengan rakyat hendaklah mempromosikan bahasa negara, iaitu bahasa Melayu dalam kedua-dua peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Ini hendaklah dilakukan secara aktif menerusi pelbagai persada teknologi awam yang boleh dibangunkan nanti, sama ada dalam bidang kecerdasan buatan atau perkhidmatan digital. Dalam pada ini, pengupayaan ini penting sekali untuk melestarikan identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Sehubungan soal identiti ini, bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah antara entitinya yang penting.
Untuk identiti nasional, bahasa Melayu sebagai bahasa negara bukan sahaja berupa bahasa yang dikongsi bersama dengan perasaan bangga, sayang dan setia oleh semua rakyat.
Ia juga bahasa yang dapat mengidentifikasikan Malaysia di peringkat nasional dan juga internasional.
Bagi identiti budaya, bahasa Melayu bukan sahaja adalah jati diri selain warisan dan tradisi kita yang kental sebagai kewatanan kita. Ia ikut menghubungkan kita dengan negara ini, iaitu bumi Melayu-Islam.
Dalam konteks identiti budaya ini, harus diingatkan bahawa apabila bahasa Melayu itu kuat, budaya negara juga ikut menjadi kuat.
Sehubungan budaya negara, kini ia wujud dalam bentuk Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021. DAKEN 2021 adalah kesinambungan dan penegasan Dasar kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971.
Dalam pada ini, DKK 1971 menekankan unsur budaya Melayu dan ajaran Islam sebagai terasnya.
Walaupun begitu, mana-mana unsur budaya bukan Melayu yang tidak bercanggah dengan amalan Melayu dan syariah Islam boleh diterima untuk ikut dijadikan budaya negara.
Sebetulnya dengan prasarana linguistik yang kini ada pada bahasa Melayu, ia boleh dengan mudah lagi cepat digunakan untuk sebarang hal, khususnya dalam menjalankan apa-apa jua peranan, sama ada yang khusus mahupun yang umum yang sepatutnya didukung oleh bahasa.
Bagi bahasa Melayu pada peranan khususnya, ia sebenarnya sudah lama berupa bahasa saintifik moden, iaitu bahasa yang mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak dalam semua bidang ilmu.
Ini ekoran daripada perkembangan pesatnya dalam pembangunan yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka semenjak ditubuhkan pada 22 Jun 1956.
Sehubungan ini, korpus bahasa Melayu dikodifikasi, yakni disusun agar sistematik, dengan ejaan, tulisan, kosa kata, istilah, nahu, wacana, laras dan segala macam yang lain distandardisasikan untuk penggunaan formal.
Sesungguhnya dengan prasarana sedemikian setelah adanya kodifikasi itu, bahasa Melayu adalah bahasa yang berjaya dibangunkan sepenuhnya agar setanding dengan bahasa besar yang lain dari segi peranan linguistiknya.
Antaranya seperti bahasa Inggeris dan yang lain-lain, untuk berkomunikasi, termasuklah bagi menyampaikan pemikiran kompleks.
Sehubungan penggunaan bahasa Melayu yang memang amat mampu ini, ada keperluan mendesak untuk mengubah sikap rakyat.
Ia tidak lain tidak bukan adalah peralihan pemikiran dan kelakuan yang tidak berapa positif kepada yang sangat positif terhadap bahasa Melayu selaku bahasa negara.
Dalam era digital dan zaman internet yang tidak dapat kita lari langsung daripada penggunaan bahasa Inggeris yang dominan, ada keperluan untuk diwujudkan strategi agar soal kebahasaan negara lebih bersifat kedua-dua realistik dan nasionalistik pada masa yang sama.
Dengan ini, bahasa Inggeris sebagai lingua franca digital dan internet, tidak boleh kita kesampingkan dengan sewenang-wenangnya. Oleh itu, ia harus didukung dengan kita memanfaatkannya sepenuhnya, tetapi secara berpada-pada.
Antaranya untuk faedah komunikasi pantas yang sangat diperlukan kini. Ia penting untuk tujuan penghantaran dan perkongsian maklumat yang bukan sahaja harus secara pantas. Juga hendaklah berlaku pada sesuatu masa itu juga.
Inilah antara bahagian realistik yang dimaksudkan itu. Dengan ini, penggunaan bahasa Inggeris adalah cara paling logik untuk memperoleh faedah itu.
Bagi bahagian nasionalistik pula, bahasa Melayu selaku bahasa negara hendaklah dimartabatkan pada setiap masa untuk melindungi syiarnya sebagai bahasa kebangsaan yang mulia dan bahasa rasmi yang besar.
Untuk peranannya sebagai bahasa kebangsaan, ia hendak dipastikan berfungsi secara nasional, yakni merentasi negara, sebagai milikan bersama oleh setiap rakyat di segenap pelosok Malaysia, bukan sahaja untuk selalu bangga, sayang dan setia kepadanya. Juga untuk membangkit semangat nasionalisme dan patriotisme kita.
Manakala bagi peranan sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu hendaklah dipastikan berfungsi dalam semua ranah rasmi negara. Dalam hal ini, ia hendaklah digunakan sepenuhnya pada setiap masa untuk mengendalikan urusan formal negara.
Dalam konteks digitalisasi dan internet, untuk apa-apa yang spontan sifatnya, yakni harus dilakukan segera pada masa itu juga, ia realistik apabila bahasa Inggeris digunakan. Akan tetapi apabila ia tidak spontan, yakni boleh direncanakan, bahasa Melayu hendaklah digunakan.
Sehubungan perimbangan realistik dan nasionalistik ini, dalam konteks sistem pendidikan kebangsaan sebagai contohnya, bahasa Melayu hendaklah selalu dipastikan berupa bahasa ilmu dan bahasa Inggeris adalah sekadar bahasa sumber ilmu.
Dengan ini, ia bermakna bahasa Inggeris hendaklah diketahui sebaik-baiknya untuk dikuasai setinggi-tingginya. Ini agar ilmu dan pengetahuan yang rata-ratanya dirakam dalam bahasa Inggeris bukan sahaja dapat difahami dengan baik, juga dihayati secara mendalam.
Setelah memahami dan menghayatinya dalam bahasa Inggeris, ilmu dan pengetahuan itu kemudiannya diungkapkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.
Ini boleh dilakukan dengan mudah lagi cepat kerana prasarana bahasa Melayu yang sudah berupa bahasa saintifik moden itu.
Dengan pembahagian dan perimbangan sedemikian, bukan sahaja bahasa Melayu selaku bahasa negara akan dapat diperkukuh agar terus teguh. Rakyat juga akan dapat diperkasa supaya selamanya kental jati diri kebangsaan mereka.
Sesungguhnya dengan perimbangan sebegini, kita bukan sahaja dapat menyekatkan imperialisme bahasa Inggeris. Sebetulnya kita juga dapat mengukuhkan bahasa Melayu dengan memastikan status sosial dan budayanya berada pada tahap tinggi lagi unggul pada setiap detik di tanah watannya sendiri. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
The post Upayakan bahasa Melayu sebagai wadah digital appeared first on Utusan Malaysia.



