Upko pertahan Proklamasi Malaysia. Tidak harus ada proklamasi lain: Ewon

LocalPolitics
8 May 2023 • 1:43 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAMPARULI: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu mempertahankan Proklamasi Malaysia dan tidak harus ada proklamasi lain.

Sehubungan itu katanya, Parti Upko menolak mana-mana gerakan yang ingin mengadakan proklmassi berunsur perkauman.

“Saya ada membaca beberapa orang atau pihak yang ingin mendapatkan sokongan kepada proklamasi mereka yang mereka panggil sebagai Proklamasi Orang Melayu.

“Pada pandangan saya, ini tidak sepatutnya berlaku kerana bagi Upko dan saya, kita hanya ada satu proklamasi iaitu Proklamasi Malaysia dan proklamasi inilah yang menjadi dokumen penting kepada pengisytiharan penubuhan Malaysia,” katanya.

SPONSORED CONTENT Carlsberg gets inked to celebrate pride of Sabah, Sarawak SHAH ALAM: Carlsberg Smooth Draught returns to celebrate Sabahan and Sarawakian pride for the third consecutive year with artful traditional tattooing designs of six beautiful icons from the Borneo islands. Read more Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Kaamatan Upko dan Penuputan Karnival Usahawan dan Koperasi Madani, di Dewan Tun Hamdan Tamparuli, di sini, pada Ahad.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sekiranya semua kaum mahu membuat proklamasi, pastinya akan memberi kesan kepada perpaduan kaum di negara ini yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Kalau semua kaum mahu buat proklamasi, apa implikasinya kepada perpaduan yang selama ini kita usahakan? Bukan mudah untuk mengurus kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

“Sabah sebagai satu wilayah yang sudah lama menjadi contoh kopada keharmonian kaum dan agama perlu mempertahankan Proklamasi Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, sebagai rakan dalam pimpinan Sabah, beliau akan berusaha memastikan rakyat negeri ini tidak menyertai mana-mana usaha untuk membuat proklamasi berunsurkan kepentingan satu-satu kaum tertentu sahaja.

“Apa yang kita mahu ialah Sabah mempertahankan apa yang ditandatangi oleh pemimpin Sabah pada tahun 1963 iaitu Perjanjian Malaysia dan selepas Perjanjian Malaysia dibuat proklamasi Malaysia sebagai pengisytiharan penubuhan. Ini yang kita mesti pertahan dan laksanakan,” katanya.

Mengenai Sambutan Kaamatan, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sambutan Kaamatan Upko adalah acara tradisi yang dianjurkan parti itu setiap tahun.

“Semasa kita berhadapan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini, kita hanya mengadakan sambutan ini secara maya dan hari ini kita mengadakannya secara fizikal dan saya berpuas hati dengan kehadiran para pengunjung yang berbilang kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan terutamanya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) kerana mengambil bahagian dalam pameran dan memberi penerangan melalui kaunter perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

“Pada pandangan saya, ini penting dan wajar bagi kerajaan melalui agensi-agensi membuka kaunter perkhidmatan supaya peranan mereka dapat disampaikan kepada rakyat terutama para pengunjung yang hadir pada sambutan Kaamatan,” katanya.

Turut hadir Presiden Kehormat Upko Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Wilfred Madius Tangau dan para pemimpin setempat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.