UPM gesa perkukuh keterjaminan makanan negara

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UPM gesa perkukuh keterjaminan makanan negara

OLEH Prof. Dr. Norsida Man

Keterjaminan makanan merupakan antara agenda strategik negara yang semakin penting dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, perubahan iklim, konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa. Makanan bukan sekadar keperluan asas manusia, malah merupakan komponen penting keselamatan negara, kestabilan sosial dan kesejahteraan rakyat.

Malaysia masih berhadapan cabaran untuk memastikan bekalan makanan yang mencukupi, selamat, berkhasiat dan mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat. Kebergantungan terhadap import bagi beberapa komoditi makanan utama menyebabkan negara terdedah kepada perubahan harga dunia, sekatan eksport, peningkatan kos pengangkutan serta gangguan pengeluaran di negara pembekal.

Oleh itu, keterjaminan makanan tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah bekalan semata-mata, tetapi perlu merangkumi aspek ketersediaan, akses, penggunaan dan kestabilan bekalan makanan.

Dalam konteks ini, pengukuhan pengeluaran makanan tempatan perlu menjadi keutamaan. Sektor pertanian negara memerlukan pendekatan lebih menyeluruh melalui penggunaan teknologi moden, penyelidikan dan pembangunan (R&D), mekanisasi, pertanian digital serta amalan pertanian pintar iklim. Peningkatan produktiviti tanah, pengurusan air yang cekap, penggunaan benih berkualiti dan pengurangan kehilangan hasil selepas tuaian juga penting bagi meningkatkan daya tahan sistem pengeluaran makanan.

Pada masa yang sama, keterjaminan makanan bukan tanggungjawab petani semata-mata. Ia memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, institusi penyelidikan, universiti, sektor swasta, koperasi, pengusaha industri makanan dan pengguna.

Rantaian nilai makanan daripada pengeluaran input, pengeluaran di ladang, pemprosesan, penyimpanan hingga pengedaran dan pemasaran perlu diperkukuh agar bekalan sampai kepada pengguna pada harga yang munasabah.

Universiti Putra Malaysia (UPM), sebagai institusi yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian, sains makanan, ekonomi pertanian dan pembangunan luar bandar, berperanan penting dalam menyokong agenda ini. Penyelidikan universiti perlu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang dapat meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran dan memperkukuh pendapatan petani.

Pemindahan ilmu melalui pengembangan pertanian, latihan, khidmat nasihat serta kerjasama dengan industri juga perlu dipertingkatkan supaya inovasi dapat dimanfaatkan secara meluas, khususnya oleh golongan petani kecil. Selain meningkatkan pengeluaran, negara perlu memperkukuh pengurusan stok penimbal, sistem logistik, infrastruktur penyimpanan dan mekanisme pemantauan bekalan.

Kepelbagaian sumber import juga penting sebagai langkah pengurusan risiko, tanpa mengetepikan usaha membangunkan keupayaan pengeluaran domestik. Pendekatan ini membolehkan negara mengimbangi keperluan bekalan, kemampuan pengguna dan kelestarian pengusaha pertanian.
Keterjaminan makanan adalah agenda keselamatan negara maka pertanian memerlukan pelapis belia dan teknologi moden bagi mengatasi masalah struktur petani di Malaysia.

Pertanian mesti jadi kerjaya profesional berpendapatan munasabah dan dilaksanakan dengan teknologi bagi mencapai tahap pengeluaran yang tinggi. Petani perlu disokong dengan rantaian nilai yang cekap, pasaran terjamin serta bekalan yang stabil. Sektor pertanian yang kerap berhadapan dengan perubahan cuaca, masalah serangan penyakit dan perosak, kos input yang tinggi dan tiada jalan penyelesaian akan mengurangkan daya tarikan kepada belia untuk menceburi bidang ini.

Akhirnya, keterjaminan makanan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan negara, bukan sekadar usaha menangani kenaikan harga atau kekurangan bekalan ketika krisis. Dasar yang konsisten, pelaksanaan yang berkesan dan kerjasama semua pihak menjadi asas kepada pembinaan sistem makanan yang berdaya tahan.

Malaysia perlu bergerak daripada pendekatan yang hanya bertindak apabila berlaku krisis kepada strategi pencegahan, persediaan dan penyesuaian jangka panjang. Dengan memperkukuh pertanian tempatan, memanfaatkan ilmu dan teknologi serta memastikan kebajikan pengeluar dan pengguna terus terpelihara, keterjaminan makanan dapat dijadikan asas kepada kedaulatan negara, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan generasi akan datang.

PENULIS adalah Timbalan Pengarah, Bahagian Pengembangan Pertanian, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM. – UTUSAN

The post UPM gesa perkukuh keterjaminan makanan negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved