Terengganu sasar RM25 juta perkasa agromakanan

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 3:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Terengganu sasar RM25 juta perkasa agromakanan

KUALA TERENGGANU: Terengganu menyasarkan permohonan peruntukan kira-kira RM25 juta bagi 2027 menerusi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara yang menyediakan dana keseluruhan RM300 juta bagi memperkukuh sektor pertanian dan agenda keterjaminan makanan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri kini berada pada peringkat akhir penilaian terhadap cadangan projek yang akan dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam masa terdekat.

Menurutnya, permohonan itu bertujuan memastikan agenda keterjaminan makanan negeri terus diberi keutamaan menerusi pelaksanaan projek yang memenuhi keperluan sektor agromakanan Terengganu.

“Kerajaan negeri kini berada pada peringkat akhir penilaian semua projek yang akan dikemukakan dalam tempoh sehari dua ini.

“Kita menyasarkan untuk memohon kira-kira RM25 juta daripada peruntukan RM300 juta yang disediakan bagi 2027 bagi memastikan agenda keterjaminan makanan negeri terus diberikan perhatian utama,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (Pas-Bandar) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, Terengganu menerima peruntukan RM10.06 juta pada 2024 bagi melaksanakan 12 projek yang kesemuanya telah siap sepenuhnya.

Katanya, jumlah itu meningkat kepada RM18.8 juta pada 2025 bagi pelaksanaan 21 projek yang juga telah disiapkan sepenuhnya.

“Pada 2026 pula, sebanyak RM17.86 juta diperuntukkan dengan RM13.38 juta daripadanya sedang dalam pelaksanaan melibatkan 20 projek,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan merupakan dana langsung daripada KPKM yang disalurkan kepada Perbendaharaan Negeri dan perlu dibelanjakan dalam tahun semasa tanpa boleh dibawa ke tahun berikutnya.

Dalam pada itu, Dr Azman berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan Terengganu memperoleh peruntukan berkenaan ialah hala tuju pembangunan pertanian negeri yang jelas menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030.

Katanya, pelan tersebut menjadi panduan kepada kerajaan negeri dalam merancang pembangunan sektor pertanian termasuk menetapkan sasaran serta mengenal pasti keutamaan projek.

“Jadi, apabila ditanya ke mana hala tuju sektor pertanian Terengganu, kita sudah mempunyai satu dokumen yang lengkap,” katanya.

Menurutnya, faktor kedua ialah keseragaman dan kerjasama berpasukan antara jabatan serta agensi di bawah portfolio pertanian, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dalam menyelaras permohonan peruntukan.

Katanya, setiap cadangan projek akan dibawa ke Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk dinilai dan diteliti sebelum dikemukakan kepada jawatankuasa penilai.

Tambahnya, prestasi pelaksanaan projek turut menjadi faktor penting apabila Terengganu berjaya berada pada kedudukan pertama atau kedua sejak program berkenaan mula dilaksanakan pada 2024.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KPKM, khususnya Ketua Setiausaha kementerian serta seluruh pasukan yang membantu mempermudah urusan kerajaan negeri dalam mendapatkan peruntukan berkenaan. – UTUSAN

The post Terengganu sasar RM25 juta perkasa agromakanan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved