
KUALA LUMPUR – Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal mendapat peluang merasai pengalaman industri sebenar apabila kerjasama universiti itu dengan Himalaya Wellness Malaysia turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat.
Pengurus Besar Kluster Himalaya Wellness bagi Malaysia, Singapura, Brunei dan Filipina, Kumaran Chandrasergaran berkata, kerjasama itu tidak hanya tertumpu kepada penyelidikan, malah turut membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali lebih dekat aplikasi ilmu dalam industri.
Katanya, antara perkara yang sedang dibincangkan ialah peluang latihan industri selain pembangunan kandungan pendidikan berkaitan perubatan komplementari bersama UPM.
“Pelajar UPM boleh mendapat pengalaman melalui latihan industri di Himalaya, manakala kami juga mahu berbincang dengan universiti mengenai program atau silibus berkaitan perubatan komplementari.
“Menerusi cara ini, pelajar perubatan dan farmasi dapat didedahkan kepada bidang herba sebagai sebahagian daripada pengetahuan untuk kegunaan mereka pada masa depan,” katanya.
Kerjasama berkenaan diperkukuh menerusi pertukaran Surat Hasrat (LOI) antara Himalaya Wellness dan UPM sempena University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.
LOI itu disempurnakan Kumaran bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Ir Dr Abd Rahim Abu Talib, yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof Dr Shamsul Bahri Md Tamrin.
Menerusi LOI itu, kedua-dua pihak akan meneliti beberapa bidang kerjasama termasuk penyelidikan bahan berasaskan herba, pembangunan produk serta suplemen dan pengembangan kandungan akademik berkaitan perubatan komplementari.- KOSMO! ONLINE
The post UPM-Himalaya rintis kerjasama penyelidikan, pengalaman industri appeared first on Kosmo Online.






