UPM, ZKNU komited perkukuh kerjasama bidang reka bentuk alam sekitar
zulfadli
03/08/2023 - 11:32
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Zhoukou Normal University (ZKNU) terus komited dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar melalui pembaharuan memorandum perjanjian (MoA) bersama.
Usaha pembaharuan MoA bersama ZKNU itu bagi meneruskan kerjasama dalam melaksanakan Program Akademik Bacelor Rekabentuk Alam Sekitar yang melibatkan perkogsian pengetahuan yang lebih besar dalam bidang ini.
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, keyakinan terhadap keupayaan pihaknya dan pengiktirafan dunia menyebabkan ZKNU memilih UPM untuk membantu dalam aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi 14 kursus Program Akademik Bacelor Rekabentuk Alam Sekitar.
"Kerjasama yang terjalin sejak 2015 ini telah menyaksikan pelbagai pencapaian daripada aspek akademik serta meningkatkan lagi agenda Jangkauan Global sebagaimana amanat tahun baharu Menteri Pendidikan Tinggi yang akan memperkukuh pengaruh kuasa lunak Malaysia.
"Oleh itu, saya percaya MoA yang ditandatangani hari ini akan dapat memberi impak positif kepada kedua-dua pihak.
"MoA ini berupaya menambah nilai dan meningkatkan keberkesanan program akademik sepadan dengan keperluan semasa menyokong Pelan Strategik UPM 2021-2025," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoA antara UPM dan ZKNU di sini, hari ini.
Terdahulu, MoA itu ditandatangani oleh Mohd Roslan dan Presiden ZKNU, Prof Dr Zhang Baoqiang sambil disaksikan Dekan FHAS UPM, Prof Dr Hazandy Abdul Hamid dan Timbalan Presiden ZKNU, Prof Dr Chi Yan.

Turut hadir, Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM, Prof Datuk Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dan Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM, Prof Madya Dr Suhardi Maulan serta delegasi UPM.
Melalui perjanjian itu, ZKNU berhasrat membentuk kerjasama berterusan menerusi cadangan penubuhan pusat penyelidikan secara bersama ZKNU-UPM yang dinamakan ‘Zhengzou Research Institute’ dengan dana oleh Kerajaan Henan.
Selain itu, UPM turut menawarkan penubuhan kampus satelit ZKNU di UPM yang akan diselaras menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Dr Ismi Arif Ismail berkata, kerjasama ini akan meningkatkan taraf UPM sebagai universiti yang diiktiraf oleh universiti China bagi aktiviti pengajaran dan pakar UPM di peringkat antarabangsa.
"Aktiviti PdP ini perlu diambilkira dalam usaha memperluaskan mekanisma UPM dalam memperkukuh penerimaan kepakaran untuk jaringan antarabangsa," katanya. - DagangNews.com

