UPNM jimat kos elektrik RM1.3 juta setahun melalui sistem tenaga solar TNB, Synergy Generated

LocalBusiness & Finance
13 Jan 2026 • 4:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UPNM jimat kos elektrik RM1.3 juta setahun melalui sistem tenaga solar TNB, Synergy Generated image is not available haziq13/01/2026 - 16:25 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Jan – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dijangka dapat menjimatkan kos elektrik sebanyak RM1.3 juta setahun sejajar pelaksanaan sistem tenaga solar di seluruh kampusnya. 

 

Ia susulan pemeteraian perjanjian bekalan tenaga boleh diperbaharui (RE) hari ini dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Synergy Generated Sdn Bhd (SGSB) bagi meningkatkan kecekapan kos operasi.

 

Memorandum perjanjian (MoA) itu yang menyokong agenda kelestarian tenaga negara, ditandatangani oleh Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad, Ketua Pegawai Pelanggan TNB bagi Kerajaan dan Perniagaan Besar, Iskandar M Hussein serta Pengarah Urusan SGSB, Syed Mohamed Fazilla Syed Hussain.

 

Menurut Arman, pelaksanaan projek berkenaan dijangka membolehkan UPNM menjimatkan kira-kira RM1.3 juta setahun kos elektrik, didorong penggunaan tenaga solar pada kadar tarif yang lebih kompetitif berbanding bekalan grid konvensional.

 

“Melalui pelaksanaan projek ini, penjimatan tersebut akan memberi impak langsung kepada pengurusan kewangan universiti dan membolehkan sumber dioptimumkan bagi tujuan akademik, penyelidikan serta pembangunan modal insan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian hari ini.

 

Beliau berkata, skop projek merangkumi reka bentuk, pembekalan, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem solar di beberapa lokasi strategik dalam kampus termasuk bumbung bangunan, tempat letak kenderaan dan laluan pejalan kaki.

 

Perjanjian itu meliputi tempoh 21 tahun, sekali gus menyediakan kestabilan bekalan tenaga jangka panjang serta pulangan kewangan yang mampan kepada universiti.

 

Selain penjimatan kos, Arman berkata, inisiatif tersebut turut merangkumi RM50,000 setahun bagi dana penyelidikan, penempatan latihan industri untuk pelajar serta peningkatan kemahiran teknikal kakitangan melalui pendedahan kepada teknologi tenaga boleh baharu.

 

Menurutnya, kerjasama yang sejajar dengan Pelan Strategik UPNM30 (2025–2030) itu menghimpunkan kepakaran TNB sebagai utiliti nasional dan pengalaman SGSB dalam pembangunan solar, serta berpotensi menjadi model rujukan kepada institusi pengajian tinggi lain dalam melaksanakan inisiatif tenaga mampan. - DagangNews.com

Terkini standard