UPSI Cipta Rekod Melalui Millenia Bubble Run Sempena Hari Sukan Negara

19 Oct 2025 • 11:30 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI Cipta Rekod Melalui Millenia Bubble Run Sempena Hari Sukan Negara
Salina Samsudin (dua dari kanan) menyampaikan sijil Malaysia Book of Records kepada Ilyana Kamal (tiga dari kanan) sempena Millenia Bubble Run Mental Health di Gerbang Suria Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Photo credit: Shahida UPSI

TANJONG MALIM – Semangat sukan, kesihatan dan kesejahteraan mental disatukan melalui penganjuran Millenia Bubble Run Mental Health x Malaysia Day 2025 sejauh lima kilometer di Gerbang Suria Sport City, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Acara itu berlangsung bersempena Perhimpunan Bulanan Edisi Oktober dan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat UPSI, menghimpunkan lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada warga universiti, pelajar sekolah, serta komuniti setempat.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, berkata penganjuran Bubble Run bukan sekadar aktiviti santai, tetapi platform penting bagi meningkatkan kesedaran terhadap kesejahteraan mental melalui pendekatan fizikal yang menyeronokkan.

“Menurut laporan WHO (2025), aktiviti sukan yang dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu mampu menurunkan kadar kemurungan dan kebimbangan sehingga 30 peratus.

“Gabungan Bubble Run dan Hari Sukan Negara ini amat bertepatan untuk menyampaikan mesej kesejahteraan mental dalam suasana yang positif dan menyeronokkan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Beliau berkata, program yang bakal direkodkan dalam Malaysia Book of Records itu mencerminkan komitmen UPSI untuk memperkukuh budaya sihat di kalangan warganya melalui gabungan sukan, inovasi dan data.

“Ini bukan sekadar rekod penyertaan, tetapi simbol semangat warga UPSI yang proaktif, kreatif dan berinovasi dalam menyampaikan mesej kesihatan mental melalui aktiviti fizikal,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Program Millenia Bubble Run Mental Health x Malaysia Day, Izzah Ilyana Kamal, 22, berkata program tersebut direka khas bagi menggabungkan elemen keseronokan, kebersamaan dan kesedaran kesihatan mental dalam satu acara.

“Larian sejauh lima kilometer ini diadakan dalam suasana penuh warna-warni dengan buih sabun, muzik dan sorakan peserta.

Menurutnya, penganjuran kali ini turut disertai pelbagai agensi dan komuniti tempatan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Hari Pencegahan Bunuh Diri Peringkat Negeri Perak, dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Daerah Muallim 2025 yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, YB Salina Samsudin.

“Kami mahu menunjukkan bahawa UPSI bukan sahaja tempat menimba ilmu, tetapi juga pusat komuniti yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.