KUALA TERENGGANU – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Alumni dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Lautan, Jabatan Taman Laut Malaysia serta pasukan penyelam UPSI melaksanakan Program Penyelenggaraan Kerangka Besi Propagasi Karang di Taman Laut Redang sebagai usaha berterusan memelihara dan memulihkan ekosistem marin negara.
Seramai 20 peserta terdiri daripada staf UPSI, alumni, sukarelawan penyelam serta rakan kolaborasi menyertai program yang diadakan pada Jumaat itu. Aktiviti berkenaan bertujuan memastikan struktur propagasi karang berada dalam keadaan baik bagi menyokong pertumbuhan terumbu karang baharu di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan hidupan laut.
Program dimulakan dengan taklimat keselamatan oleh Jabatan Taman Laut Malaysia sebelum peserta menjalani lawatan tapak dan pemeriksaan terhadap kerangka besi propagasi karang. Antara kerja penyelenggaraan dijalankan ialah pembersihan kerangka daripada alga dan serpihan laut, penggantian struktur rosak akibat hakisan serta penempatan semula anak karang di lokasi strategik.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin berkata program itu memberi impak besar kepada usaha pemeliharaan alam marin dan selaras dengan matlamat universiti dalam menyokong kelestarian alam sekitar.
“Kelestarian alam marin adalah tanggungjawab bersama. Usaha kecil hari ini akan memberi kesan besar pada generasi akan datang,” katanya.
Pengarah Pusat Alumni UPSI Dr Omar Firdaus Mohd Said pula berkata penglibatan alumni dalam program itu mencerminkan komitmen berterusan universiti untuk mengukuhkan hubungan dengan komuniti dan agensi berkaitan.
“Program seperti ini bukan sahaja memupuk semangat sukarelawan, malah membuka ruang kolaborasi strategik demi memastikan khazanah laut terus terpelihara,” katanya.
Melalui program itu, peserta turut didedahkan dengan teknik penyelenggaraan propagasi karang dan aspek saintifik berkaitan pemuliharaan marin, sekali gus menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 14 – Kehidupan di Bawah Air.
Penganjur berharap inisiatif itu dapat dijadikan acara tahunan supaya kesinambungan usaha pemeliharaan terumbu karang di Pulau Redang dapat diperkukuh, sekali gus menjadikan kawasan itu bukan sahaja tarikan pelancongan malah contoh kejayaan projek pemeliharaan ekosistem marin di negara ini.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)
