Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi menganjurkan Kejohanan Golf Amal yang berlangsung di A’Famosa Golf & Country Club pada 23 Ogos lalu dengan penyertaan hampir 100 pemain terdiri daripada pengurusan tertinggi universiti, penaja, rakan strategik serta alumni dari empat era iaitu SITC, MPSI, IPSI dan UPSI.
Kejohanan yang pernah dianjurkan di Pulau Pinang pada 2019 itu sebelum ini berjaya menarik penajaan serta kutipan hasil jualan lelong, termasuk putter kesayangan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketika itu.
Sumbangan berkenaan membolehkan Pusat Alumni membina perhentian bas berbumbung yang kini beroperasi di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff dalam ucapan aluan berkata kejohanan tersebut bukan sahaja medan pertandingan sukan, malah menjadi platform menjalin silaturahim antara universiti, penaja, rakan strategik dan alumni.
Beliau berkata, hasil kutipan sumbangan dan tajaan kali ini akan disalurkan untuk membeli sebuah bas yang akan disumbangkan kepada Sekolah Rendah Seri Budiman, iaitu sekolah bertaraf antarabangsa yang diuruskan oleh UPSI melalui anak syarikatnya, UPSI Holdings Sdn. Bhd. (UHSB).
“Pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Alumni ini bukan sekadar pertandingan biasa, sebaliknya menjadi medan untuk menjalinkan silaturahim antara pihak universiti, penaja-penaja, rakan strategik dan alumni untuk sama-sama membangunkan UPSI pada masa akan datang,” ujar beliau.
Kejohanan turut diserikan dengan penyertaan bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, Dr. Sani Madon, yang hadir bersama tiga adiknya iaitu Datuk Mohammad Maidon, 84; Haji Mohd Natar Madon, 7, dan Haji Mohd Nasir Madon, 69.
Kejohanan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu VIP, terbuka dan alumni, selain menawarkan hadiah sebuah kereta SUV elektrik Zeekr X tajaan Zeekr Carro bagi pemain yang berjaya melakukan pukulan Hole-in-One di lubang ke-15.
Bagi kategori alumni, juara disandang Ahmad Tarmizi Al Shaari, manakala mantan Pengarah Pusat Alumni, Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril meraih tempat kedua.
Kategori VIP pula dimenangi oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, manakala kategori terbuka dimenangi oleh pemain berpengalaman, Nordin Yahya.
Turut hadir menyertai kejohanan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI Holdings, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)


