UPSI laksana Program Protégé Kepimpinan, bangun pelapis pemimpin akademik

Local
5 May 2026 • 6:30 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI laksana Program Protégé Kepimpinan, bangun pelapis pemimpin akademik
Dr. Md Amin (tengah) bergambar bersama protege iaitu Dr. Sathish Rao (kiri) dan Faiz Farhan (kanan) pada sesi lapor diri Program Protege Kepimpinan Tertinggi di Pejabat Naib Canselor, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda pembangunan kepimpinan akademik menerusi pelaksanaan Program Protégé Kepimpinan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU), satu inisiatif strategik yang berlangsung dari Februari hingga Disember 2026.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, program itu dilaksanakan selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030 serta menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang memberi penekanan terhadap usaha melahirkan pemimpin akademik berdaya saing global dan berkeupayaan memacu transformasi pendidikan tinggi secara mampan.

Beliau berkata sebagai institusi peneraju bidang pendidikan, UPSI mengambil pendekatan proaktif dan sistematik dalam membangunkan bakat kepimpinan dalaman menerusi program berkenaan, selain memberi pendedahan menyeluruh berkaitan tadbir urus universiti kepada pensyarah berpotensi tinggi.

“Program itu turut mengintegrasikan pendekatan JIWA UPSI yang merangkumi Jiwa Ketakwaan, Jiwa Keinsanan, Jiwa Kekeluargaan, Jiwa Kecemerlangan dan Jiwa Pendidik sebagai asas pembentukan kepimpinan holistik.

Menurut Dr. Md Amin, program yang bermula pada 23 Februari lalu itu melibatkan enam pensyarah sebagai kohort perintis, termasuk dua bekas wakil Majlis Perwakilan Pelajar UPSI (MPP) sebagai sebahagian usaha kesinambungan pembangunan bakat kepimpinan universiti.

Menurut beliau, penglibatan langsung barisan kepimpinan tertinggi universiti sebagai mentor mampu mempercepat pemindahan ilmu, pengalaman dan nilai kepimpinan kepada peserta terpilih.

“Program ini bukan sekadar platform perkongsian pengalaman, malah merupakan ekosistem pembangunan kepimpinan yang menyeluruh meliputi keupayaan membuat keputusan strategik, pemantapan integriti serta pengukuhan budaya kecemerlangan organisasi,” katanya.

Beliau berkata program itu dilaksanakan secara berfasa dan berstruktur melalui sesi pementoran, perbincangan berasaskan kes sebenar, refleksi kepimpinan serta tugasan berimpak tinggi yang berkait rapat dengan isu strategik universiti.

Pelaksanaan program berkenaan diselaraskan oleh Unit Pengurusan Bakat, Bahagian Sumber Manusia UPSI dengan sokongan dasar daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).

“Dalam jangka panjang, program berkenaan berpotensi dijadikan model rujukan pembangunan kepimpinan akademik serta diperluaskan melalui kerjasama strategik dengan institusi dalam dan luar negara,” ujar beliau.

Sementara itu, salah seorang peserta kohort perintis, Dr. Sathish Rao, berkata penyertaan dalam program itu membuka perspektif lebih luas terhadap kepimpinan.

“Program ini memberi kefahaman bahawa kepimpinan bukan sekadar kedudukan, tetapi berakar daripada nilai, integriti dan komitmen untuk menyumbang,” katanya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.