UPSI, MyTutor Academy jalin kerjasama strategik perkasa kebolehpasaran graduan

Business & Finance
26 Apr 2026 • 11:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI, MyTutor Academy jalin kerjasama strategik perkasa kebolehpasaran graduan
Dr. Md Amin (tiga dari kanan) dan Mohd Hafiz (empat dari kanan) bergambar sambil menunjukkan dokumen MoA yang telah ditandatangani pada majlis berkenaan di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI. Photo credit: Fisol UPSI

TANJONG MALIM — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan MyTutor Academy Sdn. Bhd. bagi memperkukuh jaringan strategik antara universiti dan industri dalam bidang inovasi, latihan serta pembangunan modal insan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kerjasama itu dijangka membuka ruang kolaborasi lebih luas termasuk menghubungkan ekosistem pembelajaran digital Home2U UPSI dengan platform MyTutor bagi memperluas akses pendidikan secara fleksibel kepada masyarakat.

Beliau berkata inisiatif itu juga merangkumi cadangan pelantikan pensyarah adjung daripada industri bagi merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan profesional.

“Kerjasama ini turut meneroka pembangunan platform perkhidmatan bersepadu yang membolehkan pelajar, graduan dan komuniti mendapatkan akses kepada latihan, bimbingan serta peluang pekerjaan dalam satu ekosistem digital yang komprehensif.

Beliau berkata demikian pada majlis berkenaan yang berlangsung di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Menurut Dr. Md Amin, kerjasama berkenaan juga dilihat berpotensi memperkukuh peranan jaringan alumni UPSI dalam aspek pembangunan kerjaya, keusahawanan dan jaringan profesional.

“Melalui pemeteraian MoA ini turut membuka peluang kepada graduan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk Sarjana dan Doktor Falsafah,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyTutor Academy, Mohd Hafiz Kamaruddin berkata pihaknya komited untuk menjadikan kerjasama itu sebagai platform memperkasa pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan selari dengan keperluan industri semasa.

“Melalui kolaborasi ini, kami melihat potensi besar untuk menggabungkan kepakaran akademik UPSI dengan pengalaman industri MyTutor dalam menyediakan latihan yang lebih praktikal, relevan dan berimpak tinggi kepada pelajar serta graduan.

“Kami juga percaya pendekatan berasaskan teknologi dan pembelajaran fleksibel mampu memperluas akses pendidikan kepada lebih ramai lapisan masyarakat, sekali gus menyokong agenda pembangunan pendidikan negara,” katanya.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pelaksanaan program berimpak tinggi seperti bootcamp, kem musim panas serta program pembangunan pelajar, di samping meneroka inisiatif pendidikan berteraskan tahfiz dan pengajian agama.

MyTutor Academy dalam pada itu menyatakan hasrat menjadikan UPSI sebagai lokasi penganjuran program komuniti berskala kecil yang mampu menghidupkan suasana kampus serta memberi nilai tambah kepada warga universiti.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin; serta Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) UPSI, Prof. Madya Dr. Sharul Effendy Janudin; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) MyTutor Academy, Zulaikha Jeffrey; Pegawai Perhubungan Korporat dan Perhubungan Awam MyTutor Academy, Nurul Aqilah Baharuddin dan Eksekutif Pemasaran, Muhammad Noor Hariz Md Nor.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.