UPSI Laksana Transformasi Pusat Sumber Untuk Galak Minat Membaca Kanak-Kanak

3 Jul 2022 • 10:38 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Shaharuddin (dua dari kanan) menyerahkan komputer tiba kepada pihak Pusat Sumber KEMAS Kampung Pasir Salak.

PERAK TENGAH - Menyedari kepentingan memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dengan kepelbagaian bahan bacaan, Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini turun padang melakukan transformasi Pusat Sumber KEMAS Kampung Pasir Salak di daerah ini.

Menurut Setiausaha Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, transformasi itu memberi fokus kepada penyediaan ruang lebih kondusif dengan penambahan sebanyak 300 buah naskah buku bernilai RM4,500.

Katanya, sumber bacaan itu diperoleh daripada agensi luar, antaranya Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta syarikat penerbitan.

“Selain buku bacaan umum dan bacaan bergambar, ruang bacaan disusun serta dihias dengan dekorasi menarik dan pelbagai rona warna perabot bagi menarik penyertaan muda ke pusat sumber, sekali gus mewujudkan suasana seronok kepada mereka,” katanya.

image is not available
Sukarelawan UPSI bersama pengurusan dan kanak-kanak Pusat Sumber KEMAS Kampung Pasir Salak.

Beliau berkata demikian ketika perasmian program transformasi Pusat Sumber KEMAS Kampung Pasir Salak di sini.

Pada acara itu, Shaharuddin menyampaikan sumbangan komputer riba dan mesin pencetak.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, inisiatif penyerahan buku itu dilaksanakan bagi menyokong program outreach (capaian) Pasir Salak, sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung 1 hingga 3 Julai di daerah tersebut.

“Selain transformasi pusat sumber KEMAS, seramai 22 sukarelawan ResQ Team UPSI terdiri daripada mahasiswa dan staf pelbagai fakulti serta pusat tanggungjawab, menyumbang tenaga dengan membantu masyarakat sekitar kampung membersihkan kawasan menerusi Program Gotong Royong UPSI B40,” katanya.

“Menerusi inisiatif digerakkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), sukarelawan UPSI  turut melakukan transformasi dengan melukis mural di dinding pusat sumber,” jelasnya.

Menurut Norkhalid, sebagai universiti yang cakna dengan keperluan masyarakat setempat, Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) universiti awam itu, turut menganjurkan Kelas Bahasa Isyarat kepada orang ramai.

image is not available
Kelas Bahasa Isyarat diadakan kepada orang ramai pada program itu.

“Menariknya kelas asas bahasa isyarat yang berlangsung separuh hari ini disampaikan sendiri Pengarah Akademik, Profesor Madya Dr Abdul Rahim Razalli dan mendapat penyertaan menggalakkan daripada guru pendidikan khas dari beberapa buah sekolah di daerah ini,” katanya.

Terdahulu, pada program sama, UPSI menyertai slot pentas mini IKS Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia menerusi program forum disampaikan panel akademik Keluarga Malaysia@UPSI dan sesi perkongsian keusahawanan Meet and Greet ‘Taikun Muda’.

“Hari ini Fakulti Teknikal Vokasional UPSI mengadakan demo pembuatan pau, selain persembahan kebudayaan artis Pusat Kebudayaan serta Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.

“Majlis serahan bantuan komputer riba daripada Perdana Menteri kepada pelajar B40 UPSI yang menetap di daerah ini turut diadakan hari ini,” tambahnya. - Getaran, 3 Julai 2022