UPSI Lonjak Pembelajaran Bermakna Melalui Inisiatif SULAM@UPSI

3 Nov 2025 • 10:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI Lonjak Pembelajaran Bermakna Melalui Inisiatif SULAM@UPSI
Para pemenang Karnival SULAM UPSI 2025 bergambar kenangan bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI sempena Majlis Penutup Karnival SULAM UPSI 2025 di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Photo credit: Fisol Ahmad

TANJONG MALIM — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti pendidikan unggul negara melalui pelaksanaan Inisiatif SULAM@UPSI, yang dilancarkan bersempena Majlis Penutup Karnival SULAM UPSI 2025.

Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Datuk Prof. Emerita Dr. Roziah Omar, berkata peluncuran inisiatif itu melambangkan komitmen berterusan UPSI dalam memperkasa pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), sebagai wadah pembelajaran berasaskan khidmat masyarakat yang menyatukan ilmu, nilai dan amalan sebenar.

“Karnival ini bukan sekadar acara rutin, tetapi mencerminkan visi UPSI dalam mengangkat pendekatan pembelajaran yang bermakna di mana setiap pelajar, pensyarah dan komuniti bersama-sama menghasilkan nilai nyata,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup tersebut di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Khamis lalu.

Beliau berkata, melalui pendekatan SULAM, pelajar bukan sahaja mempelajari teori tetapi turut turun padang untuk menyelami realiti kehidupan masyarakat serta menyumbang solusi kepada permasalahan sebenar.

Karnival SULAM UPSI 2025 menyaksikan penyertaan pensyarah dan pelajar dari UPSI bersama 10 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain dalam pelbagai aktiviti termasuk TikTok Challenge SULAM UPSI dan SULAM@UPSI Innovation Showcase, yang menjadi platform menghubungkan idea kreatif serta hasil inovasi pelajar kepada komuniti.

Image from: UPSI Lonjak Pembelajaran Bermakna Melalui Inisiatif SULAM@UPSI
Dr. Roziah menurunkan tandatangan ketika menyempurnakan Majlis Penutup Karnival SULAM UPSI 2025 di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Photo credit: Fisol Ahmad

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pelaksanaan SULAM di UPSI telah diselaras oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) melalui Pusat Pembangunan Akademik (PPA) bagi memastikan setiap pelajar menjalankan sekurang-kurangnya satu projek SULAM sepanjang tempoh pengajian.

“Sepanjang tahun 2025, sebanyak 100 projek SULAM telah dijalankan melibatkan seramai 2,974 pelajar pada semester A241 dan 2,825 pelajar pada semester A242.

“Melalui projek-projek ini, seramai 13,431 ahli komuniti sasaran telah menerima manfaat secara langsung hasil kerjasama dan aktiviti yang dijalankan.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa SULAM TikTok Challenge yang dianjurkan UPSI telah mendapat sambutan hangat dengan lebih 200 penyertaan serta ribuan tontonan dan tanda suka di platform media sosial.

“Inisiatif sebegini bukan sahaja meningkatkan keterlihatan (visibility) universiti melalui pelaksanaan SULAM, tetapi turut menyemai semangat mencintai komuniti dalam kalangan masyarakat,” katanya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.