IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKj) terus memperkukuh peranannya dalam meningkatkan kesejahteraan warga emas di Perak menerusi pelaksanaan saringan risiko jatuh dan konsultansi senaman berasaskan tahap kecergasan individu.
Inisiatif itu diketengahkan pada Majlis Perasmian Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang baru-baru ini, yang disempurnakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
UPSI diwakili dua Pensyarah Kanan FSSKj, Dr Nor Fadila Kasim dan Dr Fairus Fariza Zainudin yang berkongsi kepakaran fakulti dalam bidang kecergasan fungsian, pencegahan risiko jatuh dan konsultansi senaman untuk warga emas.
Menurut Dr Nor Fadila, UPSI merupakan rakan strategik Wanita Perak di bawah portfolio EXCO Pembangunan Wanita Negeri Perak dalam menjayakan Program Warga Emas Fit (WEFIT) 2026 menerusi siri jelajah ke Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negeri.
“Melalui program ini, warga emas menjalani Senior Fitness Test bagi menilai komponen kecergasan fizikal yang berkaitan dengan keupayaan mereka melaksanakan aktiviti harian secara selamat dan berdikari.
“Keputusan penilaian ini menjadi asas kepada konsultansi senaman yang diberikan secara terus mengikut tahap keupayaan dan keperluan setiap individu, sekali gus membantu meningkatkan kekuatan otot, keseimbangan, fleksibiliti dan mobiliti mereka..
Beliau berkata pendekatan berasaskan individu amat penting memandangkan setiap warga emas mempunyai tahap kecergasan, keupayaan fizikal dan risiko jatuh yang berbeza.
“Pengesanan awal membolehkan warga emas mengenal pasti tahap keupayaan fizikal dan faktor risiko mereka. Berdasarkan keputusan saringan, senaman yang bersesuaian boleh dicadangkan bagi membantu mereka mengekalkan fungsi fizikal, kebebasan bergerak dan kualiti hidup,” katanya.
Sementara itu, Dr Fairus Fariza berkata kerjasama strategik antara FSSKj dan Wanita Perak membuka ruang kepada universiti untuk memperluas pelaksanaan intervensi berasaskan sains sukan kepada komuniti warga emas di seluruh Perak.
“Program turun padang seperti ini membolehkan kami mendekati komuniti, memahami keperluan sebenar warga emas serta menyediakan panduan senaman yang praktikal dan bersesuaian dengan tahap keupayaan mereka.
“Ini selari dengan aspirasi UPSI untuk memastikan ilmu, penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan di universiti dapat dimanfaatkan secara menyeluruh oleh masyarakat,” katanya.
Selain memperkenalkan program saringan risiko jatuh dan konsultansi senaman, reruai FSSKj turut mengetengahkan produk inovasi berupa losyen urut berasaskan bunga telang yang sedang dibangunkan oleh penyelidik universiti.
Produk yang masih berada pada peringkat pra-pelancaran itu diperkenalkan bagi mendapatkan maklum balas awal daripada masyarakat dan pihak berkepentingan.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)





