UPSI, PSM meterai MoU perkasa pembangunan sepak takraw negara

18 Jul 2026 • 11:30 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI, PSM meterai MoU perkasa pembangunan sepak takraw negara
Md Amin (empat dari kanan) bersama Abidullah (tiga dari kiri) bergambar sambil menunjukkan dokumen MoU yang telah ditandatangani pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UPSI dan PSM di Bilik Mesyuarat Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Photo credit: Hasniza UPSI

TANJONG MALIM, 15 Julai 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada atlet sepak takraw negara melanjutkan pengajian di institusi itu.

MoU yang ditandatangani di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI di sini turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, perkongsian kepakaran teknikal dan sains sukan serta penyediaan pusat latihan kebangsaan bagi sukan sepak takraw.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md. Taff berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong pembangunan modal insan negara menerusi gabungan kecemerlangan akademik dan sukan.

“UPSI komited menawarkan peluang pendidikan kepada atlet-atlet di bawah PSM pada semua peringkat pengajian, tertakluk kepada kelayakan akademik, selain menyediakan fleksibiliti jadual yang selaras dengan keperluan latihan dan pertandingan mereka.

“Kerjasama ini bukan sekadar sebuah dokumen simbolik, sebaliknya akan diterjemahkan melalui pelan tindakan yang konkrit dan berimpak tinggi demi manfaat kedua-dua institusi serta pembangunan sukan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UPSI dan PSM di sini hari ini.

Beliau berkata UPSI turut bersedia berkongsi kepakaran dalam bidang teknikal, kejurulatihan, kepegawaian dan teknologi sukan, selain menyediakan kemudahan dan sumber yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan kerjasama itu dipantau secara berterusan.

Md Amin berkata MoU berkenaan yang berkuat kuasa selama tiga tahun dan boleh dilanjutkan atas persetujuan bersama dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Memorandum Perjanjian (MoA) yang lebih terperinci pada masa hadapan.

Sementara itu, Naib Presiden PSM, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata kerjasama tersebut akan menyediakan laluan pendidikan formal yang lebih terjamin kepada atlet sepak takraw negara dan negeri, termasuk daripada Sekolah Sukan Malaysia serta Sekolah Sukan Negeri.

“Gabungan kepakaran sains sukan UPSI dan pengalaman teknikal PSM diyakini mampu mempercepatkan pembangunan bakat, jurulatih dan pegawai teknikal bertauliah dalam sukan sepak takraw.

Beliau turut berharap MoU berkenaan dapat menjadi model rujukan kepada kerjasama strategik antara badan sukan kebangsaan dan institusi pengajian tinggi lain di negara ini.

“Pada masa yang sama, kerjasama ini selaras dengan usaha berterusan untuk memartabatkan sepak takraw sebagai sukan warisan Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh; Presiden Sepak Takraw Elmshorn Germany, Ismail Salleh; Wakil Perhubungan Sepak Takraw Elmshorn Germany, Salem Ismail; Timbalan Presiden Sepak Takraw Emas Gemilang, Yaacob Ismail; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved