BANTEN, 3 Januari 2026— Program MESRA International Volunteering Programme (IVP) 3.0 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerapkan nilai empati dan keprihatinan sosial dalam kalangan mahasiswa menerusi aktiviti bakti sosial (BAKSOS) melibatkan pengagihan sumbangan sembako kepada komuniti setempat di sini.
Sembako, singkatan kepada Sembilan Bahan Pokok, merujuk kepada keperluan asas harian masyarakat dan sering dijadikan inisiatif utama dalam program kebajikan bagi membantu golongan berpendapatan rendah, khususnya ketika berdepan tekanan ekonomi.
Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus UPSI, Prof Madya Dr Che Ghani Che Kob berkata program BAKSOS itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan, malah menjadi platform berkesan dalam memupuk nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta.
“Kami berharap melalui aktiviti kesukarelawanan ini, peserta dapat menghayati peranan mereka sebagai mahasiswa yang prihatin serta mampu menyumbang secara langsung kepada masyarakat tanpa mengira sempadan negara,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Program MESRA IVP 3.0, Irdina Wafa Zulkifli berkata pengisian program berkenaan memberi keseimbangan antara pembelajaran akademik dan pendedahan terhadap realiti kehidupan masyarakat setempat.
Menurutnya, penduduk tempatan menyambut baik pelaksanaan program berkenaan dan merakamkan penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh para peserta, selain berharap agar inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.
Selepas aktiviti BAKSOS, para mahasiswa turut didedahkan dengan pemprosesan kopi secara tradisional di Lawang Taji Coffee Farm, Pandeglang, yang melibatkan aktiviti penyemaian dan penyediaan kopi sebagai pengalaman pembelajaran secara langsung.
Felo Penasihat Unit Kediaman Luar Kampus UPSI, Mohd Raizol Ramli berkata pihaknya turut menyokong usaha pemuliharaan ladang kopi berkenaan menerusi sumbangan anak pokok sebagai langkah proaktif menyokong kelestarian alam sekitar serta meningkatkan kualiti oksigen di kawasan setempat.
“Pengisian aktiviti bakti sosial melalui penyerahan sembako, pendidikan penanaman dan pemprosesan kopi serta pendedahan kepada ekonomi komuniti setempat menjadi fokus utama program IVP 3.0,” katanya.
Program MESRA IVP 3.0 yang berlangsung dari 2 hingga 6 Januari 2026 itu melibatkan penyertaan sukarelawan dari UPSI, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Teknologi Petronas dengan kerjasama Universiti Islam Negeri Sultan Maulana Hasanuddin, Banten, serta diadakan di Banten dan Bandung, Indonesia.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)



