UPSI perkukuh pemeliharaan warisan budaya menerusi Gerbang Budaya @ IPM

Art
13 Nov 2026 • 10:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI perkukuh pemeliharaan warisan budaya menerusi Gerbang Budaya @ IPM
Md Amin (tengah) bersama barisan pengurusan UPSI bergambar sambil memegang plakad Gerbang Budaya @ IPM yang menggabungkan tiga ruang utama, iaitu Galeri SKTM, Dataran Budaya dan Laman Warisan. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM, 11 November 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemartabatan warisan budaya serta sejarah pendidikan menerusi peluncuran Gerbang Budaya @ Institut Peradaban Melayu (IPM) yang menggabungkan tiga ruang utama sebagai wadah ilmu, penyelidikan dan penghayatan warisan.

Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan warisan budaya dan peradaban Melayu terus dipelihara, dihayati serta diwariskan kepada generasi akan datang.

Beliau berkata penyatuan Dataran Budaya, Laman Warisan dan Galeri SKTM bukan sekadar menyediakan ruang untuk kegiatan seni dan budaya, malah berperanan sebagai platform memperkukuh jati diri bangsa melalui pengembangan ilmu serta penyelidikan berkaitan warisan tempatan.

“Gerbang Budaya @ IPM merupakan satu usaha untuk menjadikan warisan sebagai sumber ilmu, penyelidikan dan kreativiti, selain memastikan sejarah serta peradaban Melayu terus dikenali dan dihayati oleh generasi akan datang.

“Kita mahu ruang ini menjadi tempat pertemuan ilmu, seni dan masyarakat yang bukan sahaja memelihara warisan, tetapi turut menghidupkan nilai serta kearifan tempatan dalam membentuk jati diri bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Gerbang Budaya @ IPM yang diadakan bersempena Perhimpunan Bulanan UPSI Edisi November 2026 sempena Sambutan Hari Integriti dan Hari Ibu Kandung Suluh Budiman di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah IPM UPSI, Prof Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata, Gerbang Budaya @ IPM merupakan inisiatif UPSI menerusi IPM yang menyatukan tiga ruang utama dengan fungsi tersendiri, iaitu Dataran Budaya, Laman Warisan dan Galeri SKTM.

Menurutnya, dataran Budaya berperanan sebagai pentas kegiatan seni, budaya dan komuniti yang menyediakan ruang interaksi serta pengembangan kreativiti masyarakat.

“Laman Warisan pula mengetengahkan keindahan taman larangan Melayu berteraskan penyelidikan tumbuhan tradisi dan kearifan tempatan, sekali gus memperkenalkan hubungan antara warisan alam dengan budaya masyarakat Melayu.

Sementara itu, Galeri SKTM berperanan memartabatkan sejarah dan perkembangan pendidikan sekolah rendah menerusi pameran serta aktiviti pembelajaran yang membolehkan pengunjung mengenali perjalanan dan evolusi pendidikan negara.

“Penyatuan ketiga-tiga ruang berkenaan mencerminkan usaha UPSI memperluas peranan warisan sebagai sumber pembelajaran, penyelidikan dan pembentukan identiti bangsa, selain menjadikan Gerbang Budaya @ IPM sebagai ruang interaksi antara institusi ilmu dengan masyarakat,” katanya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved