
SHAH ALAM, 13 NOV: Peruntukan berjumlah RM11.29 juta disediakan Kerajaan Negeri tahun depan bagi memperkasa bidang kesusasteraan, seni budaya dan pemeliharaan warisan Selangor.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan itu merangkumi pelaksanaan geran kebudayaan, pemuliharaan bangunan warisan, pembangunan muzium serta penghargaan kepada tokoh sastera.
"Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha meninggikan martabat kesusasteraan menerusi pengiktirafan kepada tokoh dan penglibatan generasi baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Menurut Amirudin, tiga Sasterawan Negara anak Selangor akan menerima penghargaan khas secara sekali bayar berjumlah RM30,000 seorang, iaitu Dato' Dr Anwar Ridhwan, Dato' Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Prof Emeritus Datuk Dr Siti Zainon Ismail.
"Inisiatif ini menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mendukung usaha berterusan tokoh sastera untuk memartabatkan kesusasteraan, memperkaya khazanah persuratan serta membimbing generasi penulis baharu, khususnya di Selangor," ujarnya.
Katanya, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan permulaan RM1 juta bagi Geran Kebudayaan Negeri Selangor untuk membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan kebudayaan dan penggiat seni.
"Geran ini akan menyediakan akses pembiayaan kepada NGO, persatuan kebudayaan dan penggiat seni yang layak bagi melaksanakan inisiatif pemeliharaan warisan, pembangunan bakat serta projek kebudayaan berasaskan komuniti, sekali gus memperkukuh ekosistem kebudayaan dan warisan negeri," katanya.
Bagi inisiatif Adat Melayu dan Warisan, RM3.5 juta diperuntukkan termasuk menaik taraf Muzium Sultan Alam Shah serta melaksanakan kerja konservasi dan pembangunan pengisian bangunan bersejarah di Bukit Malawati.
"Usaha ini bertujuan memastikan warisan negeri terus terpelihara serta dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan, penyelidikan dan pelancongan warisan," katanya.
Sementara itu, RM3.7 juta disediakan bagi kerja hiasan dalaman Muzium Setem Negeri Selangor daripada keseluruhan kos projek RM7.4 juta.
Muzium yang diilhamkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sejak 2015 itu bakal mengetengahkan koleksi filateli sebagai medium pendidikan sejarah dan tarikan pelancongan baharu.
"Muzium ini bakal mengetengahkan koleksi filateli sebagai medium untuk memahami sejarah dan perkembangan negeri, di samping memperluas peluang pendidikan tidak formal serta mewujudkan tarikan pelancongan baharu di Selangor," katanya.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM3 juta bagi kerja awalan pembangunan Muzium Tekstil Negeri Selangor di Bangunan Anggerik, Seksyen 14, Shah Alam.
Katanya, projek menaik taraf bangunan enam tingkat bersebelahan Muzium Sultan Alam Shah itu melibatkan kos keseluruhan RM60 juta.
"Pembangunan muzium ini bakal menyediakan pusat rujukan khusus bagi tekstil warisan Selangor, sekali gus memperkukuh usaha penyelidikan, pendidikan dan pemeliharaan khazanah tekstil serta pengembangan pelancongan budaya negeri," katanya.
Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion, merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.






