IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah tersendiri apabila pasukan berbasikalnya menghadiahkan pingat pertama buat universiti itu sejak menyertai temasya Sukan Universiti Awam Kebangsaan (SUKANUN).
Pasukan berbasikal UPSI meraih pingat perak dalam acara Criterium Berpasukan pada kejohanan yang berlangsung di UiTM Seri Iskandar, sekali gus menafikan cabaran beberapa pasukan kuat lain termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Skuad itu dibarisi Ahmad Ritaudin Hamzah, Muhammad Khairul Izwan Mohd Basri, Mohamad Amin Idris dan Mohamad Amiruddin Ismail, dengan bimbingan pengurus pasukan Ramli Mosmin serta sokongan mekanik Meor Ahmad Shahril Meor Ahmad Nazizan.
Walaupun sekadar meraih perak, pasukan UPSI hanya ketinggalan lapan saat di belakang tuan rumah UiTM yang mengekalkan rekod cemerlang mereka sejak beberapa tahun lalu. Kejayaan ini dianggap lebih bermakna kerana UPSI berjaya menewaskan DBKL yang dibarisi bekas pelumba negara.
Menurut ketua pasukan Ahmad Ritaudin, pencapaian itu adalah hasil disiplin tinggi serta latihan berterusan tanpa menunggu kejohanan besar.
“Kami percaya kunci kepada kejayaan ini adalah komitmen untuk terus berlatih walaupun tanpa jaminan kejohanan. Apa yang penting ialah kesungguhan seluruh pasukan untuk meletakkan nama UPSI di pentas kebangsaan.
Tambah beliau, kejayaan itu menjadi titik permulaan kepada pasukan berbasikal UPSI untuk terus memburu kejayaan lebih besar pada edisi SUKANUN akan datang, sekali gus memberi keyakinan bahawa UPSI mampu muncul sebagai antara pencabar utama dalam acara berbasikal universiti.
Sementara itu, Ramli berkata kejayaan tersebut wajar dijadikan inspirasi kepada pelumba baharu untuk terus mengekalkan kecemerlangan UPSI pada masa akan datang.
“Pencapaian ini bukan sekadar pingat perak, tetapi simbol kekuatan mental, semangat berpasukan dan disiplin yang tinggi.
Ramli turut menegaskan, dengan perancangan latihan yang lebih teratur dan sokongan berterusan daripada universiti, UPSI berpotensi untuk merealisasikan impian meraih emas pada temasya SUKANUN akan datang.
"Saya mahu pelumba muda menjadikan kejayaan ini sebagai motivasi untuk melangkah lebih jauh, malah berusaha menandingi pencapaian senior mereka,” katanya.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)




