UPSI Sedia Membantu, Pelajar Terlibat Kemalangan Bas Bakal Ambil Tindakan

LocalPolitics
30 Jun 2025 • 3:54 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedia menghulurkan bantuan sekiranya keluarga mangsa mahu melantik peguam bagi mengambil tindakan mahkamah terhadap pemandu serta syarikat bas dalam kemalangan di Jalan Jeli-Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.

UPSI sedia bantu keluarga mangsa

image is not available

Foto: UPSI

Menurut Harian Metro, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, memberitahu urusan lantikan peguam merupakan hak mangsa serta keluarga dan pihaknya turut menyediakan khidmat nasihat bagi tujuan itu.

Amin berkata, universiti itu menerusi Penasihat Undang-Undang sentiasa terbuka untuk membantu serta memberi nasihat berhubung tindakan yang boleh diambil susulan tragedi menyayat hati yang meragut 15 nyawa itu..

“Kita tiada (sedia) peguam, tetapi tentunya kita akan memberikan nasihat untuk tindakan yang boleh diambil menerusi Bahagian Perundangan universiti.

“Terserah kepada mangsa dan keluarga untuk lantik peguam untuk tindakan undang-undang,” kata Amin di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan satu sesi bertemu keluarga akan dibuat pada Rabu ini bagi memberi penjelasan berkaitan tindakan susulan yang boleh diambil terhadap nahas tersebut.

Sabtu lalu, media melaporkan sekumpulan penuntut UPSI yang terlibat dalam kemalangan bas dinaiki mereka di Jalan Jeli-Gerik, Perak itu akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pemandu serta syarikat bas berkenaan.

image is not available

Foto: Free Malaysia Today

Menurut salah seorang mangsa, Abdul Wafiy Kamarudin, 23, menegaskan, tindakan itu diambil supaya mereka mendapat pampasan dan keadilan sewajarnya.

Dalam pada itu, perbincangan bersama peguam Dr Mahmud Jumaat juga telah dibuat dan penuntut itu berharap keadilan dapat ditegakkan supaya dapat menjadi pengajaran kepada semua pemandu kenderaan agar lebih berhati-hati ketika memandu di jalan raya.

Difahamkan, beberapa waris mangsa kemalangan sudah sebulat susara menunggu keputusan berkaitan perundangan daripada UPSI dan masih menunggu maklum balas terkini sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Sumber: Harian Metro (Yusmizal Dolah Aling)