Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda kelestarian apabila menerima Anugerah IPT Lestari sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025 peringkat negeri Perak yang berlangsung di Kompleks UMNO Bagan Datuk, baru-baru ini.
Majlis anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan kehadiran barisan kepimpinan negeri termasuk Exco Kerajaan Negeri, Teh Kok Lim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak serta wakil agensi kerajaan, pihak industri dan komuniti setempat.
UPSI diwakili Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa yang hadir menerima anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap usaha universiti menggerakkan pendidikan alam sekitar, advokasi masyarakat, program komuniti serta inisiatif kampus hijau berterusan.
Menurut Helmi, pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin kepada universiti untuk terus memperkukuh budaya kelestarian dalam pentadbiran dan operasi kampus.
“Anugerah ini menunjukkan bahawa usaha UPSI dalam membudayakan amalan hijau di semua peringkat sama ada pengurusan, warga kerja mahupun mahasiswa.
“Kami akan terus menambah baik dasar, tadbir urus dan program berkaitan kelestarian bagi menyokong aspirasi negara.
“UPSI percaya universiti memainkan peranan penting dalam membina kesedaran dan tingkah laku lestari dalam masyarakat, dan sebab itu inisiatif ini dirangka dengan pendekatan yang inklusif dan berterusan,” ujar beliau.

Sementara itu, Nor Kalsum berkata, penganugerahan tersebut mengukuhkan lagi peranan UPSI sebagai pusat ilmu yang bukan sahaja menekankan akademik, tetapi juga tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa pendidikan dan kelestarian perlu bergerak seiring dalam membentuk generasi masa depan yang berpengetahuan, peka dan bertanggungjawab.
Menurutnya, UPSI dijangka terus memperkukuh kerjasama strategik dengan kerajaan negeri, komuniti dan industri dalam program kelestarian, inovasi sosial dan pendidikan awam selaras kedudukannya sebagai universiti pendidikan terunggul negara.
“Melalui penyelidikan, inovasi dan program komuniti, UPSI komited menjadi peneraju dalam membina kesedaran alam sekitar berasaskan ilmu, nilai dan tindakan. Ini adalah hasil kerjasama seluruh warga universiti yang sentiasa menyokong agenda kelestarian,” ujarnya.
Sambutan HASN 2025 turut menampilkan persembahan rasmi, tayangan montaj dan pameran melibatkan pelbagai agensi serta komuniti.
Selain UPSI, beberapa entiti lain turut menerima Anugerah Lestari sebagai menghargai peranan mereka dalam pengurusan e-sisa, pengurangan penggunaan plastik berasaskan prinsip 5R serta pemuliharaan alam sekitar.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)

