UPSR tidak akan dikembalikan, KPM fokus TPKP 2027: Fadhlina

28 Oct 2023 • 4:56 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dikembalikan walaupun ada permintaan daripada ibu bapa bagi menjadikan peperiksaan itu sebagai penanda aras pencapaian anak mereka.

Beliau berkata, sebaliknya Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memfokuskan kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan (TPKP) 2027 dalam membangunkan kurikulum persekolahan baharu, demi memastikan pendidikan masa depan lebih kukuh.

Justeru, Fadhlina meminta ibu bapa memberi tumpuan kepada usaha KPM untuk mengadakan jelajah atau jerayawara berhubung kurikulum baharu itu.

“Ini kerana kita mahu libat urus meluas untuk (mendapatkan) input bagi memperkukuhkan sistem pendidikan negara.

“Apatah, sekarang kita nak beri tumpuan kepada pentaksiran holistik kepada anak-anak kita, khususnya pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan antaranya karakter (murid dan pelajar) diperkukuhkan,” katanya.

Fadhlina berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Taman Angkat Amanita Taman Pekaka di Nibong Tebal hari ini, seperti dilaporkan Harian Metro.

Pada April 2021, KPM ketika diterajui Datuk Radzi Jidin mengumumkan pemansuhan UPSR selepas ia mula diperkenalkan pada 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima ketika itu.

Keputusan memansuhkan peperiksaan itu sepenuhnya susulan krisis COVID-19.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, Fadhlina memaklumkan, KPM tidak berhasrat melaksanakan semula UPSR dalam tempoh terdekat, sekali gus mencetuskan persoalan apakah ia akan dikembalikan pada masa depan. – 28 Oktober, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved