
KUALA LUMPUR – Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) disahkan tidak akan dikembalikan kerana format peperiksaan tersebut dilihat sudah tidak lagi relevan dengan keperluan serta perkembangan semasa murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendekatan lama berasaskan peperiksaan semata-mata tidak lagi selari dengan sistem pendidikan masa kini yang lebih menekankan pentaksiran menyeluruh.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perubahan landskap pembelajaran serta keperluan perkembangan anak-anak.
“Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan kembali. UPSR itu berapa tahun yang lalu. Tidak sesuai langsung dengan perkembangan anak-anak kita,” katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Keperluan PT3, UPSR Masih Dikaji
Dalam masa sama, Fadhlina memaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan bagi menilai semula keperluan pelaksanaan peperiksaan awam seperti Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan UPSR.
Katanya, dapatan kajian tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Kajian itu turut mengambil kira pandangan serta permintaan sebahagian ibu bapa yang masih mahu peperiksaan berpusat dipertimbangkan semula.
“Laporan kaji selidik dan sebarang dapatan akan dikemukakan kepada Kabinet untuk diputuskan,” jelasnya pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu kementerian.
Tambah beliau, kajian berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Untuk rekod, UPSR dimansuhkan pada tahun 2021, diikuti PT3 pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang memberi penekanan kepada penilaian berterusan, bukan peperiksaan semata-mata. – The Malaysian Update
The post UPSR Tidak Akan Kembali, Tak Lagi Sesuai Dengan Perkembangan Murid – Fadhlina appeared first on The Malaysian Update.



