
Pelakon Uqasha Senrose tampil membuat permohonan maaf terbuka gara-gara memuat naik video promosi konsert Stars on Fire Hrithik Roshan di Instagramnya pada Isnin.
Uqasha, 31, juga bertindak memadamkan hantaran terbabit daripada akaun media sosialnya selepas mendapat kecaman warganet yang melabelkanya liberal.
"Saya minta maaf disebabkan hantaran terbaharu (konsert Stars on Fire Hrithik Roshan) baru-baru ini dan saya dan padamkan hari ini.
"Saya mendapat ribuan komen pada hantaran terbabit, ada yang sifatkan saya tak sensitif dengan keadaan semasa. Jadi nak mohon maaf, bukan kerana tak sensitif tentang isu semasa, tidak... dan saya bukannya nak tegakkan apa-apa pun di sini, salah tetap salah.
"Terima kasih atas teguran yang baik, mana yang kononnya 'done unfollow' itu semua saya tak boleh nak halang. Apapun, saya mohon maaf," tegasnya dalam sesi LIVE di Instagram pada Selasa.
Selain memadamkan hantaran terbabit, Uqasha turut menghubungi penganjur konsert terbabit menjelaskan situasinya dan mencapai kata sepakat.
Akui Uqasha lagi, dia bersedia menerima akibat daripada tindakannya berkongsi hantaran terbabit di media sosialnya.
"Kekhilafan saya, saya teralpa sekejap mungkin kerana saya terlampau minat Hindustan, saya teruja.
"Manusia tak lepas daripada buat kesilapan, saya tak takut dengan mulut orang komen macam-macam, cuma sesiapa yang tegur cara baik, saya hargai dan saya sudah padamkan.
"Saya rasa macam dibuli, saya nak tenangkan hati, saya akui mungkin saya terlepas pandang dan orang fikir saya tak sensitif. Jadi, saya terus padamkan dan jelaskan pada semua orang.
"Saya bukan liberal, bukan neutral, tak takut hilang followers, bukan takut IG kena blocked," jelasnya lagi.


