Kebakaran hutan di Israel angkara pendatang Yahudi

27 May 2019 • 9:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

RAMALLAH - Sejak awal minggu lalu pihak berkuasa Israel berulang kali menuduh kebakaran hutan yang melanda wilayahnya akibat perbuatan penduduk Palestin.

Bagaimanapun, tuduhan liar itu disangkal kumpulan hak asasi manusia Israel, B'Tselem yang mempunyai bukti rakaman video kejadian kebakaran tersebut sebenarnya dicetuskan pendatang Yahudi.

Menerusi rakaman itu, sekumpulan pendatang haram Yahudi dapat dilihat menyalakan api di tiga buah kampung di Tebing Barat.

Kampung yang terlibat ialah Burin, Urif dan Asira Al-Qibliya. Difahamkan pendatang Yahudi terbabit datang dari penempatan haram Yitzhar.

Lebih mengejutkan, kehadiran mereka turut diiringi tentera Israel yang tidak melakukan sebarang tindakan bagi menghalang pendatang terbabit menyalakan api.

"Beberapa tentera Israel hanya berdiri dan memerhatikan perbuatan pendatang Yahudi terbabit.

"Malah mereka menghalang penduduk Palestin daripada memadam kebakaran tersebut," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Tambah B'Tselem, ini bukan kali pertama tentera Israel didapati menutup perbuatan tidak berperikemanusiaan pendatang Yahudi terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Bulan lalu, B'Tselem mendedahkan bahawa tentera Israel menutup pembunuhan Mohammed Abd Al-Fatah, 23, yang ditembak oleh pendatang Yahudi di penempatan haram Huwara.

Pasukan keselamatan Israel mereka cerita kononnya mangsa ditembak kerana cuba menikam tentera Israel yang berkawal di pos pemeriksaan di kawasan berkenaan. - Agensi


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved