Urus niaga hartanah di Melaka pada 2024 cecah RM6.7 bilion - Rahim & Co

7 May 2025 • 5:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Urus niaga hartanah di Melaka pada 2024 cecah RM6.7 bilion - Rahim & Co

image is not available

07/05/2025 - 17:03

KUALA LUMPUR 7 Mei - Nilai urus niaga hartanah di Melaka pada tahun lalu mencatatkan sejumlah RM6.7 bilion, tertinggi yang pernah direkodkan berbanding RM5.8 bilion pada 2023 yang melibatkan 16,869 urus niaga.

Pengarah Penyelidikan Rahim & Co International Property Consultants Sdn Bhd, Sulaiman Saheh berkata, rekod terbaharu itu diperoleh daripada 20,321 urus niaga, peningkatan sebanyak 20.5% dari segi jumlah dan 15.5% dari segi nilai.

Katanya, ia antara lain disumbangkan oleh kenaikan harga rumah dengan purata harga jualan mencecah RM340,000 pada tahun 2024 berbanding RM214,000 pada 2015.

"Pasaran hartanah di Melaka sedang berkembang dengan baik dan kenaikan harga berlaku seiring dengan peningkatan permintaan.

"Namun begitu, harga rumah di Melaka masih berada pada tahap mampu milik berbanding negeri-negeri lain," katanya semasa pembentangan Rahim & Co Property Market Review 2024/2025 seperti laporan The Edge.

Sementara itu, Pengurus Kanan Penilaian Hartanah Rahim & Co, Fiqri Rohaizad menjelaskan, nilai rumah bertanah di Melaka berpotensi naik lagi pada masa hadapan.

"Harga untuk rumah bertingkat kini mula mengikut keadaan pasaran disebabkan bekalan yang semakin stabil," jelasnya.

Untuk sektor perindustrian, Fiqri menjangkakan pertumbuhan positif berikutan insentif dan inisiatif kerajaan.

Namun, beliau memberi amaran mengenai potensi lambakan projek industri kerana terlalu banyak pemaju kini memberi tumpuan kepada sektor berkenaan.

"Apabila terlalu banyak pemaju fokus kepada bidang yang sama contohnya sektor industri, lebihan permintaan akan berlaku.

"Itulah yang berlaku dalam sektor runcit. Akibatnya, ada kawasan industri mencatat kadar penghunian yang rendah," ujarnya.

Beliau berkata, keadaan kini lebih stabil untuk sektor komersial dengan kadar penghunian yang semakin meningkat antaranya melibatkan jenama popular seperti Jaya Grocer, Uniqlo, Padini yang kini mula membuka cawangan di Melaka.

Tambahnya, kawasan di selatan Melaka juga berpotensi besar untuk pembangunan masa depan, terutamanya sekitar Jasin. - DagangNews.com

featured standard