KUANTAN - Tindakan seorang anak meminta geran tanah untuk urusan pembahagian harta pusaka selepas kematian bapa membongkar rahsia ibu mereka menjadi mangsa sindiket penipuan sejak Mei tahun lalu.
Geran atas nama mendiang suami rupanya telah dicagar wanita warga emas berusia 76 tahun itu kepada syarikat pinjaman wang selepas diarahkan sindiket.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, selain mencagar geran tanah tersebut, mangsa juga mendedahkan dia turut membuat 42 transaksi bayaran melalui tujuh akaun berbeza dalam tempoh 28 Mei 2025 sehingga 25 Mac lalu dengan jumlah keseluruhan RM327,600.
Menurutnya, mangsa melakukan transaksi itu selepas diarah berbuat demikian kononnya bagi tujuan siasatan selepas didakwa terlibat dengan aktiviti penipuan.
"Kisah malang menimpa suri rumah dari Mentakab itu bermula selepas menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai 'Polis Sarawak' pada penghujung Mei tahun lalu.
"Mangsa telah dimaklumkan bahawa akaun banknya sedang disiasat kerana nombor kad pengenalan disyaki telah digunakan bagi tujuan penipuan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Yahaya berkata, mangsa mendakwa diarahkan supaya tidak memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga atau orang terdekat sepanjang tempoh siasatan.
"Mangsa juga mendakwa berada dalam ketakutan dan terpaksa akur segala arahan selepas digertak suspek dengan nada kasar.
"Wanita warga emas itu berjaya diperdayakan apabila membuat pindahan wang kononnya bagi tujuan siasatan selepas diarah berbuat demikian," katanya.
Jelas beliau, mangsa diyakinkan bahawa semua wang wang tersebut akan dipulangkan selepas siasatan selesai.
"Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM327,600 melibatkan wang simpanan dan pinjaman daripada syarikat pinjaman wang," katanya.
Yahaya justeru menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa atau agensi kerajaan.
Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat pindahan wang kepada mana-mana akaun yang tidak dikenali.
"Buat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
"Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.






