Usah batal projek bermanfaat sebab politik

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 8:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Usah batal projek bermanfaat sebab politik
Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang dibatalkan oleh pihak kerajaan Pakatan Harapan. - Gambar hiasan.

DALAM wawancara khas bersama Sinar Harian Sabtu lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan membangkitkan kekesalan terhadap pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) oleh pihak kerajaan terdahulu.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, projek mega berkenaan dibatalkan hanya disebabkan perbezaan politik. Yalah, projek itu diumumkan pada zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

Tiba-tiba ia dibatalkan sewaktu kerajaan Pakatan Harapan 1.0 mengambil alih Putrajaya pada 2018 setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang. Malah Ahmad menjelaskan negara terpaksa membayar kira-kira RM340 juta kepada Singapura kerana pembatalan projek berkenaan.

Sekiranya projek HSR dilaksanakan sebagaimana dirancang, rakyat boleh menikmati perjalanan darat dari Singapura ke Bandar Malaysia dengan hanya mengambil masa kira-kira 90 minit.

Jika projek itu menjadi realiti, sepatutnya boleh disiapkan tahun ini, lebih awal daripada pembukaan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Bahkan Indonesia yang mengumumkan projek kereta api berkelajuan tinggi lewat selepas Malaysia, kini mempunyai perkhidmatan bertaraf dunia.

Hakikatnya pelaksanaan HSR merupakan satu game changer yang bakal memberi impak terhadap sektor pengangkutan dan ekonomi negara.

Cuba bayangkan berapa besar limpahan ekonomi dirasai penduduk di kawasan jajaran HSR itu sekiranya menjadi realiti. Isu kepadatan penduduk semakin tinggi di kawasan bandar-bandar utama juga dapat dikurangkan.

Mujurlah kerajaan tidak membatalkan Lebuhraya Pan Borneo dan ECRL. Kalau tidak, rakyat Malaysia mungkin akan terus menyesal.

Sebelum ini pun cadangan pembangunan Jambatan Bengkok Malaysia-Singapura dan Projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) turut dibatalkan hanya kerana ia legasi politik pemimpin terdahulu.

Walaupun sesuatu dasar itu dimulakan parti politik mana-mana sekalipun, kerajaan perlu meneruskannya jika membawa manfaat kepada rakyat.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved