amree30/10/2026 - 16:55 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt — "Sebab itulah kita nak MOF (Kementerian Kewangan) jawab, tangguh tu sampai bila? 'Tangguh tanpa tarikh' itu samalah ertinya dengan 'batal'. Sebab dari mantan Menteri Kewangan jadi Menteri sehinggalah dah lompat banyak parti - masih tiada jawapan.
“Sampai bila hendak ditangguhkan? Tangguh tanpa tarikh sama ertinya dengan batal.”
Itulah persoalan yang dibangkitkan Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Fadzmel Fadzil berhubung arahan MOF supaya pelaksanaan perbelanjaan bagi projek yang sudah diluluskan namun ditangguhkan.
Menerusi hantaran di akaun sosial Facebooknya, beliau berkata arahan kawalan perbelanjaan itu dibuat menerusi surat MOF bertarikh 10 September 2026, sedangkan tunggakan bayaran projek terdahulu masih belum lagi diselesaikan.
Menurut beliau, KKDW tidak menerima peruntukan tambahan untuk melunaskan tunggakan berkenaan, malah peruntukan projek yang telah diluluskan turut diarahkan supaya ditangguhkan tanpa sebarang kepastian mengenai tarikh pelaksanaannya semula.
"Tapi kemudian apa yang ramai tak tahu, surat bertarikh 10 September 2026 oleh MOF secara jelas mengarahkan langkah kawalan perbelanjaan. Satu duit tunggakan tak diberikan, duit yang telah diluluskan diarahnya untuk “ditangguhkan”," dakwa Fadzmel lagi.
Justeru, beliau mempersoalkan tempoh penangguhan itu dan meminta MOF memberikan penjelasan kerana ketidakpastian berkenaan boleh menjejaskan perancangan pembangunan luar bandar yang disusun setiap tahun.
Mengulas isu komitmen perbelanjaan berlebihan yang dibangkitkan bekas Menteri Kewangan, beliau berkata keadaan itu berpunca daripada tunggakan bayaran projek tahun-tahun terdahulu, termasuk ketika bekas menteri berkenaan memegang jawatan tersebut.
Beliau turut mendedahkan tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan pemilik tanah berjumlah RM259.503 juta, melibatkan sebanyak 112 projek setakat 30 September 2026.

Dakwa Fadzmel, tunggakan tersebut turut menyebabkan sebahagian besar kontraktor kecil termasuk kontraktor Bumiputera langsung tidak menerima bayaran walaupun kerja mereka telah lama disiapkan.
"Bagi menyelesaikan tunggakan tersebut, KKDW terpaksa menggunakan peruntukan dalaman sedia ada, sekali gus menjejaskan pelaksanaan program lain termasuk pembinaan dan baik pulih rumah golongan miskin serta masyarakat Orang Asli yang melibatkan RM200 juta," katanya.
Di samping itu, turut terjejas ialah bantuan kepada usahawan kecil dalam kalangan berpendapatan B40 untuk mereka dapat menjalankan aktiviti ekonomi, termasuk pembelian enjin bot bagi nelayan dan jentera untuk petani.
Fadzmel turut menjelaskan semua komitmen projek dibuat menerusi kelulusan MOF dan Kementerian Ekonomi, manakala pelaksanaannya dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR). KKDW pula bertindak mengemukakan keperluan masyarakat luar bandar untuk perancangan projek berdasarkan kelulusan diberikan.
Menurut hantaran itu, sebanyak 40 projek Jalan Luar Bandar (JALB) bernilai RM5.14 bilion terpaksa dibatalkan proses tender, manakala 87 projek lagi bernilai RM8.10 bilion ditangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST), termasuk projek di Sabah dan Sarawak.
"KKDW bertindak mengikut tatacara kewangan kerajaan dan meminta MOF menjelaskan bila projek yang ditangguhkan itu boleh dilaksanakan semula kerana kelewatan berkenaan memberi kesan langsung kepada pembangunan serta kehidupan masyarakat luar bandar," katanya. - DagangNews.com




