Usah berlembut 'ulat foto' KLCC

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kewujudan ‘ulat foto’ sudah lama mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pengunjung. - FOTO: Imej janaan AI Gemini

CADANGAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan lesen harian kepada jurufoto jalanan di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dilihat sebagai langkah pentadbiran yang longgar terhadap masalah yang semakin serius.

Isunya bukan lagi lesen semata-mata tetapi keselamatan, penguasaan ruang awam dan imej negara.

Realitinya, kewujudan ‘ulat foto’ sudah lama mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pengunjung. Berdasarkan pengalaman sendiri dan aduan orang ramai, kumpulan ini bukan sekadar menawarkan perkhidmatan, malah ada yang bertindak agresif sehingga menguasai lokasi tumpuan.

Kawasan ikonik seperti latar belakang Menara Berkembar Petronas seolah-olah dimonopoli dengan orang awam berasa tertekan untuk menggunakan khidmat mereka jika mahu bergambar di situ.

Malah, ada 'ulat foto’ berdiri di laluan trafik semata-mata dapatkan sudut gambar menarik pelanggan, tanpa mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya.

Lebih membimbangkan, insiden keganasan yang membawa kepada penahanan 18 individu baru-baru ini jelas membuktikan masalah ini sudah melangkaui tahap gangguan biasa.

Apabila pergaduhan dan serangan berlaku di kawasan pelancongan utama, ia memberi isyarat bahawa pendekatan sedia ada gagal mengekang kegiatan ini secara berkesan.

Apa pun, pemberian lesen harian tidak menjamin perubahan tingkah laku. Sebaliknya, ia berpotensi mewujudkan 'lesen mendominasi' ruang awam secara sah.

Tanpa penguatkuasaan tegas dan pemantauan berterusan di lapangan, cadangan ini hanya menukar status daripada haram kepada berlesen tanpa menyelesaikan masalah akar umbi.

Langkah lebih tegas wajar dilaksanakan, termasuk pengharaman jurufoto tidak berlesen di zon tertentu, senarai hitam individu agresif dan rondaan berkala penguat kuasa

Teknologi seperti kamera litar tertutup boleh membantu, tetapi ia bukan penyelesaian mutlak tanpa tindakan susulan yang tegas.

KLCC ialah wajah negara kepada dunia. Jika ruang awam di situ terus dikuasai kelompok tidak beretika, kita bukan sahaja gagal melindungi pengunjung, malah mempertaruhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan mesra.