MUSIM perayaan di Malaysia khususnya Hari Raya Aidilfitri sudah semestinya diwarnai dengan dentuman mercun dan sinaran bunga api yang menghiasi ruang udara.
Bagaimanapun, kebelakangan ini, tradisi yang sepatutnya membawa kegembiraan telah bertukar menjadi igauan ngeri akibat penyalahgunaan bahan letupan itu.
Fenomena ini bukan sahaja menggugat ketenteraman awam, malah mengakibatkan kerosakan harta benda yang serius serta trauma fizikal terhadap mangsa.
Sejak Ramadan lalu, kawasan ikonik terutama di Jambatan Angkat (Drawbridge) di Terengganu menjadi lokasi tumpuan aktiviti bermain mercun yang dilihat semakin meriah menjelang musim perayaan.
Berdasarkan perkongsian seorang wanita yang juga peniaga makanan, Hazwani Abdullah, 37, peluang berbuka puasa di kawasan itu dicemari oleh sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu.
Kain yang dipakainya berlubang akibat terkena percikan mercun ketika dia sedang bersantai bersama empat anaknya yang berusia antara empat hingga 14 tahun di kawasan parkir di situ.
Walaupun kerugian material mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, impak psikologi terhadap anak-anak yang menyaksikan kejadian tersebut sangat mendalam.
Kawasan awam yang sepatutnya menjadi ruang selamat bagi keluarga kini bertukar menjadi medan 'perang' bunga api yang tidak terkawal, hanya kerana kegilaan mahu melihat kemeriahan yang tular di media sosial.
Lebih membimbangkan apabila mercun yang 'sesat' mengakibatkan kerosakan besar kepada harta benda orang awam dan siapa yang perlu bertanggungjawab apabila masing-masing tidak mengaku kesilapan sendiri.
Pada hemat penulis, kegiatan bermain mercun dan bunga api pada musim perayaan tahun ini agak ekstrem dan tidak keterlaluan jika ia disifatkan sebagai aktiviti 'membakar' wang ringgit.
Insiden sebuah keluarga yang berdepan detik cemas apabila mercun terbang masuk ke dalam rumah mereka juga merupakan gambaran bahaya yang ekstrem terhadap aktiviti bermain mercun pada musim perayaan.
Menurut perkongsian keluarga itu, mercun tersebut dikatakan telah meletup di ruang kabin mengakibatkan cermin depan kenderaan milik mangsa pecah dan berlubang.
Kerosakan harta benda sebegini bukan sahaja melibatkan kos pembaikan yang tinggi, malah memusnahkan persiapan hari raya yang sepatutnya disambut dengan penuh kesyukuran.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes ini antaranya pengaruh media sosial mendorong orang ramai berkumpul di lokasi tumpuan untuk merakam kandungan 'estetik' bunga api tanpa menghiraukan keselamatan.
Selain itu, wujudnya normalisasi bahawa 'bermain mercun adalah tradisi' yang menyebabkan ramai pihak menutup mata terhadap risiko keselamatan harta benda orang lain.
Budaya bermain mercun sehingga merosakkan harta benda dan mengancam nyawa perlu dihentikan dengan penguatkuasaan yang lebih tegas dan kesedaran sivik yang tinggi.
Sudah tiba masanya masyarakat kembali menghayati erti perayaan yang sebenar iaitu keselamatan dan kesejahteraan bersama, bukannya perlumbaan membakar mercun atau bunga api yang akhirnya memakan diri dan menyusahkan orang awam.
Penguatkuasaan undang-undang di kawasan tumpuan seperti Jambatan Angkat perlu diperketatkan bagi memastikan kawasan tersebut kekal mesra keluarga, bukannya zon bahaya yang mengancam keselamatan.
*Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Terengganu
