MENJELANG Aidilfitri, suasana malam di kebanyakan kawasan mula ‘hidup’ dengan dentuman mercun dan cahaya bunga api.
Di gerai tepi jalan, pasar malam malah di kawasan pekan dan bandar, semakin ramai peniaga menawarkan mercun dan bunga api untuk dijual.
Terpampang kain rentang yang menunjukkan peniaga berlesen dan mempunyai permit selepas penjualannya dibenarkan dengan syarat yang ketat.
Bagi sesetengah orang, bunyi letupan itu mungkin dianggap sebahagian daripada kemeriahan menjelang raya yang berbaki lebih seminggu. Tanpa mercun, kononnya sambutan raya terasa kurang ‘seri’ dan kurang meriah.
Namun begitu, apabila permainan bunga api dan mercun menjadi keterlaluan sehingga mengganggu ketenteraman awam, ia mula menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.
Dentuman kuat pada lewat malam bukan sahaja mengganggu penduduk setempat, malah boleh menjejaskan pesakit di hospital berhampiran.
Kanak-kanak, warga emas dan individu yang sensitif terhadap bunyi bising turut berisiko mengalami stres atau ketakutan akibat dentuman berulang.
Perkara ini turut mendapat perhatian Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim, yang mengingatkan orang ramai supaya tidak bermain mercun berhampiran Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru menerusi satu hantaran di Threads pada Isnin.
Peringatan tersebut segera mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai di media sosial.
Ramai yang bersetuju bahawa permainan mercun perlu dikawal bagi menghormati pesakit serta memastikan ketenteraman awam terus terpelihara menjelang sambutan Aidilfitri.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, pihak HSA menyifatkan teguran tersebut mencerminkan keprihatinan Tunku Idris terhadap kesejahteraan para pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Menurut pihak hospital, di sebalik dinding institusi perubatan itu terdapat pelbagai golongan pesakit termasuk bayi yang baru dilahirkan, warga emas yang uzur serta pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang sememangnya amat memerlukan suasana persekitaran yang tenang bagi membantu proses pemulihan.
Tidak cukup dengan peringatan itu, beberapa pihak juga menekankan bahawa insiden lalu seperti kecederaan akibat mercun boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat agar lebih berhati-hati.
Pada 17 Februari lalu, seorang lelaki cedera parah sehingga putus kaki kiri selepas bunga api yang dimainkannya meletup di hadapan rumah di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, Segamat.
Kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah malam ketika mangsa berusia lingkungan 30-an sedang bermain bunga api sebelum berlaku letupan yang mencederakannya.
Sudah tiba masanya kita meninggalkan norma lama bermain mercun dan bunga api terutama menjelang Aidilfitri.
Tradisi ini walaupun menyeronokkan dan memeriahkan suasana malam raya, hakikatnya berisiko tinggi terhadap keselamatan diri dan orang sekeliling.
Sebaliknya, eloklah digantikan dengan aktiviti yang lebih bermanfaat, selamat dan menjana pahala seperti membaca al-Quran dan berzikir.
Dengan cara ini, kita bukan sahaja menyemarakkan malam Ramadan terutama menjelang Aidilfitri secara positif, malah dapat mendidik generasi muda agar menghargai keselamatan dan mengelak pembaziran wang yang tidak perlu.
Jangan hanya kerana mahu menikmati keseronokan beberapa minit, akhirnya menyesal seumur hidup apabila jari, tangan, kaki atau anggota badan lain menjadi korban.
*Nor Azura Md Amin ialah wartawan Sinar Harian




