
KUALA LUMPUR - Sebarang usaha untuk atau keputusan melibatkan pembangunan Kampung Baru harus mengambil kira kepentingan orang Melayu.
Menitahkan perkara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bertitah, aspek tersebut perlu dilaksanakan bukan sahaja untuk waktu terdekat, tetapi juga untuk jangka masa panjang.
Titah baginda, Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900.
“Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampung Baru memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur,” titah baginda hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, isu berkenaan perlu dikendalikan secara teliti dan berhemah, dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
“Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
“Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru harus diambil kira,” titah baginda.
Baginda bertitah, Kampung Baru yang telah ditubuhkan pada 1899 telah diiiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian.
Titah Sultan Sharafuddin lagi, ia adalah hasil kurniaan nenda baginda, Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S).
“Beta ingin mengimbas semula susur galur sejarah dan peristiwa penting orang Melayu yang telah berlaku di Kampung Baru dan harus dipelihara.
“Ini kerana Beta sendiri pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampong Bharu, ketika ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, Allahyarham ayahanda Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir di Kampung Baru, malah Tengku Permaisuri turut membesar di situ.
“Sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur pada suatu ketika, Kampung Baru menempatkan Kelab Sultan Sulaiman, lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada tahun 1946 yang mencetuskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
“Semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman juga dijadikan tempat perlindungan orang-orang Melayu,” titah baginda.
Padang Kelab Sultan Sulaiman juga titah baginda, turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka, dan mini bangunan kelab berkenaan masih menjadi hak milik kerajaan negeri Selangor.
“Bukan itu sahaja, sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kediaman rasmi Dato' Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga berada di Kampung Baru,” titah baginda.
“Lebih nostalgik, persefahaman pernah dicapai supaya Masjid Jamek Kampung Baru yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor ke-6, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, harus dikekalkan di lokasi sedia ada dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain,” titah baginda. - Getaran, 18 September 2025
