
Dalam politik, macam-macam perkara boleh berlaku dalam satu hari. Namun begitu, apa berlaku pada satu hari tidak mempengaruhi perkembangan politik serta-merta. Sebaliknya, ia memerlukan suatu tempoh yang berhari-hari untuk menampakkan perubahan.
Sebelum ini sudah tersebar spekulasi bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan diadakan pada tahun ini juga, sama ada Oktober atau November. Sedangkan tempoh penggal kerajaan Madani adalah November 2027. Maknanya ada setahun lebih lagi. Adalah suatu merugikan bagi negara jika tempoh itu tidak dihabiskan sepenuhnya. Sementara bagi rakyat, undi yang diberikan itu adalah untuk mandat satu penggal, dan bukannya sebahagian walaupun Dewan Rakyat dibenarkan dibuat begitu.
Sememangnya sebelum ini ada pernyataan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa mereka akan menghabiskan tempoh penggal ini. Tetapi apa-apa saja pun boleh berlaku.
Suasana yang tidak mesra antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak memungkinkan gangguan urusan pentadbiran. Semua langkah adalah perlu untuk mengambil kira persiapan bagi pilihan raya akan datang. Hubungan antara PH dan BN juga sudah tidak lancar sebagai satu pasukan.
Daripada segi zahirnya tentulah boleh saja membezakan antara politik di peringkat negeri dengan pusat. Sejak Malaysia tertubuh, politik Sabah diasingkan daripada peringkat Persekutuan. Di Persekutuan, kerjasama antara parti boleh diadakan dalam kerajaan tetapi di peringkat negeri, parti berkenaan boleh berlawan di antara satu sama lain.
Tetapi perkara itu bolehlah berlaku di Sabah atau Sarawak. Landskap politiknya berbeza dengan peringkat Persekutuan. Tetapi politik di negeri dalam Semenanjung adalah amat berkait dengan Persekutuan. Semenanjung pula bukan besar mana. Maka membezakan antara politik negeri dengan Persekutuan di Semenanjung menyukarkan pentadbiran.
Maknanya, PRU ke-16 perlu diadakan segera untuk mententeramkan keadaan politik. PRU merupakan ‘pembetulan’ yang perlu dilakukan untuk menstabilkan negara. Namun begitu, apa yang nyata, waktu sekarang, sepanjang tahun ini, iaitu daripada segi ekonomi negara dan dunia, ia tidak sesuai. Ia akan menyusahkan negara dan rakyat. Perang Amerika dengan Iran masih berlaku.
Tetapi tentulah ia dikatakan PRU ini perlu diadakan segera walaupun keadaan ekonomi negara dan dunia sebegini rupa. Tentulah bagi mereka yang tidak boleh menunggu tahun 2028 berasa PRU diadakan segera untuk menangkap peluang
BN adalah gabungan parti yang tidak boleh menunggu lagi. Dari akar umbi, ke pemimpin bahagian dan negeri, tekanan dikenakan terhadap pucuk pimpinan supaya mempercepatkan PRU ke-16. Tekanan juga dijangka diberikan supaya ditamatkan kerjasama antara PH dan BN.
Suasana landskap politik hari ini menguntungkan BN dan merugikan PH. Dengan Perikatan Nasional (PN) yang berantakan, BN mempunyai kelebihan. Sudah jelas Pas mahukan dilaksanakan Muafakat Nasional dengan BN. Tandanya Pas percaya kerjasama dengan BN boleh membantunya. Ia juga menunjukkan kelebihan BN mengatasi Pas. Sesuatu yang tidak memeranjatkan.
Walaupun dalam PRU-15, kerusi Parlimen yang diperoleh Pas adalah lebih banyak daripada UMNO, tetapi keadaan sekarang sudah berubah. Kemampuan Pas sudah lemah dengan perbalahan dalam Bersatu dan dalam PN yang turut melibatkan Pas.
Sementara kedudukan BN berada dalam kerajaan memberikannya kelebihan berbanding Pas dan Bersatu yang berada di luar kerajaan. Lagipun Bersatu dan PN tidak mempunyai dana yang baik seperti masa PRU lalu. PKR pula mengalami pergolakan dalaman parti hinggakan lahir pecahannya, Bersama yang sedikit sebanyak menjejaskan kekuatan PKR dan PH. Sementara DAP pula mengalami kemerosotan sokongan bukan Melayu tidak seperti mana dalam PRU ke-14 dan 15.
Hakikat bahawa PH mengajak BN bertanding bersama seperti dalam pilihan-pilihan raya negeri pada 2023 menunjukkan PH kurang yakin untuk bertanding secara bersendirian. Maka masa inilah BN berasa yakin untuk bertanding solo, tanpa kerjasama dengan PH dan PN. Kalau sebarang kerjasama berlaku, ia hendaklah BN yang menerajuinya. Bakal Perdana Menteri hendaklah datang dari UMNO. Kalau PN atau PH mahu menyertai kerajaan, maka mereka wajar menerima UMNO sebagai ketua.
Aspirasi UMNO tetap adalah untuk kembali sebagai kuasa dominan sepenuhnya dalam kerajaan. Iaitu mereka mahu pulihkan BN seperti keadaan sebelum pilihan raya umum tahun 2008 dengan dua pertiga kerusi parlimen di bawahnya. Untuk itu, ia juga bermaksud parti-parti Sarawak dan Sabah yang meninggalkan BN selepas 2018 perlu kembali kepadanya. Tetapi itu ada cabarannya tersendiri.
UMNO melalui Perikatan menguasai majoriti dua pertiga Parlimen hinggalah tahun 1969. Ia kemudian kembali dominan melalui BN hinggalah PRU tahun 2008. Tetapi masih banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh BN untuk pulih. Itupun jika ia berlaku.
Cabaran paling besar adalah perpaduan di dalam parti. Sejak kalah pada 2018, tidak ada perubahan yang besar untuk memperbaiki sahsiah para ahli politiknya.
Apa yang memberi kelebihan kepada UMNO adalah ketakutan dan kebencian sebahagian orang Melayu terhadap DAP. Maka rugi bagi UMNO jika terus berada bersama DAP dalam kerajaan. Sentimen perkauman ini disemai sejak 2018 dan ia mendatangkan keuntungan politik pada Pas, Bersatu dan UMNO. Tetapi pertelagahan antara Pas dan Bersatu mendorong orang Melayu kembali kepada UMNO.
Namun begitu, walaupun akhirnya jika UMNO mampu kembali berkuasa penuh dalam kerajaan sekalipun, rakyat negara ini sudah berubah sejak 2008. Sentimen perkauman dan kebencian terhadap DAP tidak akan bertahan lama. Generasi akan datang pasti menilai parti menurut prestasi pencapaian pentadbirannya.
The post Usaha BN untuk kembali berkuasa penuh appeared first on Utusan Malaysia.





