Usaha Cari Pasangan Pengasas eHati Belum Libat Interpol - KP Selangor

LocalPolitics
27 Nov 2025 • 6:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum memohon bantuan polis antarabangsa (Interpol) bagi mengeluarkan notis merah terhadap pasangan suami isteri termasuk pengasas program motivasi rumah tangga eHati yang melarikan diri ke luar negara.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata usaha pencarian suspek yang menghadapi pertuduhan di mahkamah itu masih diteruskan dengan kerjasama rakan strategik PDRM di negara terbabit.

"Buat masa ini, kita belum sampai tahap untuk dapatkan notis merah Interpol lagi kerana kita tumpukan pencarian melibatkan kerjasama antara negara dahulu.

"Lagi pun kita tahu dia ke negara mana dan tidak ke mana-mana, mereka masih di negara tersebut," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shazeli berkata usaha mengesan lokasi dan mencari individu terbabit diteruskan mengikut kaedah biasa melibatkan kerjasama pasukan keselamatan kedua-dua negara.

Sebelum ini, Shazeli dilaporkan berkata dua individu terbabit telah melarikan diri ke luar negara pada 13 Okt lepas, sehari sebelum pertuduhan terhadap mereka dibuat di mahkamah.

Beliau berkata pasangan terbabit dipercayai berada di sebuah negara Asia Tenggara.

Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas program eHati dan kaunselornya selepas gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. - BERNAMA