Usaha guru pastikan murid solat subuh dipuji

3 Aug 2026 • 4:17 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Usaha guru pastikan murid solat subuh dipuji

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang guru lelaki yang menyambut ketibaan murid di pintu masuk sekolah sambil bertanya sama ada mereka sudah menunaikan solat subuh atau belum mengundang pujian orang ramai.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Cikgu Mohd Haizul Arny di akaun TikTok miliknya, guru berkenaan dilihat menyapa murid-murid dengan mesra sebelum bertanyakan mengenai pelaksanaan solat subuh mereka.

Malah, bagi murid yang mengakui belum menunaikan solat subuh, beliau menyediakan sejadah di koridor sekolah bagi membolehkan mereka menyempurnakan ibadah tersebut sebelum memasuki kelas.

Menurutnya, usaha itu dilakukan sebagai peringatan agar murid membiasakan diri mengutamakan solat sebelum memulakan sesi pembelajaran.

“Tahniah kepada ibu bapa yang berjaya mengejutkan anak awal pagi dan solat subuh bersama. Kita doakan anak-anak yang bangun subuh cemerlang,” katanya menerusi video tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji pendekatan berkenaan yang disifatkan mampu membentuk disiplin serta sahsiah murid sejak usia muda.

Seorang pengguna berkata, kaedah yang digunakan guru berkenaan mampu membentuk kefahaman murid bahawa solat merupakan satu kewajipan dan bukannya paksaan.

“Bagus cara didikan macam ini. Tiada denda dan kekerasan untuk anak-anak pada usia ini. Murid pun tidak rasa solat itu paksaan, tetapi satu masa nanti mereka akan faham solat itu adalah satu kewajipan,” katanya.

Seorang lagi pengguna menyifatkan pendekatan tersebut sebagai inisiatif yang baik untuk membiasakan murid sekolah rendah menunaikan solat subuh sebelum ke sekolah.

“Wah, inisiatif yang bagus ustaz Terutama untuk murid-murid sekolah rendah. Lama-kelamaan ia akan menjadi rutin mereka selepas ini,” katanya.

Sementara itu, pengguna lain pula berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan mengingatkan anak-anak bahawa permulaan hari perlu dimulakan dengan menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT.

@mohdhaizularny

Kempen solat subuh#cikgu #guru #sekolah #kementerianpendidikanmalaysia #hananaacademy

♬ original sound – Mohd Haizul Arny – Mohd Haizul Arny

The post Usaha guru pastikan murid solat subuh dipuji appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved