Usaha sama EPMB, Hebei Shichang bangunkan projek pelaburan RM100 juta

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 10:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Usaha sama EPMB, Hebei Shichang bangunkan projek pelaburan RM100 juta

PETALING JAYA –  EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah bekerjasama dengan sebuah syarikat sistem bahan api terbesar di Bursa Saham Beijing, Hebei Shichang Auto Parts Co Ltd (Hebei Shichang) untuk projek membangunkan  kemudahan pembuatan baharu yang memfokuskan pengeluaran tangki bahan api termaju untuk Proton.

Projek tersebut dijangka melibatkan pelaburan sehingga RM100 juta.

Usaha sama ini akan menyokong inisiatif pengembangan Proton dan menyumbang kepada pembangunan rantaian bekalan komponen yang mempunyai tahap penyetempatan yang tinggi di Malaysia, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk menjadi hab serantau terkemuka bagi pengeluaran dan eksport automotif.

Susulan pemeteraian perjanjian antara EPMB dengan Hebei Shichang hari ini,  EP Shichang Automotive Systems Sdn Bhd akan ditubuhkan untuk melaksanakan usaha sama tersebut, dengan pegangan saham sebanyak 51 peratus dimiliki oleh EPMB dan 49 peratus oleh Hebei Shichang.

Di bawah Fasa 1 usaha sama ini, EPMB dan Hebei Shichang akan membangunkan sebuah kemudahan pengeluaran tangki bahan api plastik di hab pembuatan EPMB di Batang Kali, Selangor, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 200,000 tangki bahan api setahun.

Setelah kemudahan tersebut siap, ia akan mula membekalkan tangki bahan api kepada Proton di Tanjung Malim pada Mac 2027.

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan EPMB, Ts Mohd. Seth Sulaiman berkata, sebagai rakan kongsi Proton selama hampir 40 tahun, pihaknya  amat berbesar hati menyaksikan kejayaan pelaksanaan platform Advanced Modular Architecture (AMA).

“Usaha sama strategik kami dengan Hebei Shichang akan membolehkan kami terus
menyokong Proton dalam mengembangkan penggunaan platform AMA dan mencapai kejayaan yang lebih besar, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Hebei Shichang, yang tersenarai di Bursa Saham Beijing, mengkhusus dalam
penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran sistem tangki bahan api plastik.

Pelanggannya termasuk pengeluar automotif utama China seperti Geely, Chery, BYD,
SAIC, FAW, Changan dan BAIC. Syarikat yang berpangkalan di China itu mempunyai
permodalan pasaran sebanyak RMB11.75 bilion (bersamaan kira-kira RM7.1 bilion). -KOSMO! ONLINE

 

The post Usaha sama EPMB, Hebei Shichang bangunkan projek pelaburan RM100 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved