
KUALA LUMPUR – Usahawan muda perlu berani meneroka kepelbagaian konsep perniagaan bagi merancakkan ekonomi setempat, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kepelbagaian konsep bukan sahaja membantu perniagaan berkembang, malah berpotensi menjadi tarikan kepada penduduk setempat dan pelancong asing.
Beliau berkata, kejayaan pengusaha muda mengembangkan perniagaan menerusi konsep berbeza wajar dijadikan inspirasi kepada usahawan lain untuk terus berusaha dan merebut peluang yang tersedia.
Mengambil contoh pengusaha restoran Bayu Seafood, beliau berkata, pembukaan cawangan kelapan perniagaan menerusi Kumpulan White N Black itu membuktikan kepelbagaian konsep mampu menjadi peluang untuk mengembangkan perniagaan.
“Saya sendiri pernah memegang 440 cawangan KFC sebelum ini. Justeru, saya sebagai menteri yang terlibat dalam pelaburan melihat kejayaan mereka yang tidak pernah berputus asa, mengetengahkan pelbagai konsep dan bermula dari bawah sebagai motivasi.
“Mereka belajar bagaimana hendak mendapatkan bekalan, menguruskan pekerja, menjaga pelanggan dan memastikan kualiti makanan sentiasa baik serta konsisten. Jadi, ia perlu dijadikan sebagai suntikan semangat untuk orang lain berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bayu Seafood by White N Black, di sini hari ini.
Menurut Johari, usaha memberikan peluang kepada golongan muda untuk mengusahakan premis perniagaan di kawasan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sebelum ini terbiar turut mencerminkan inovasi dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Katanya, penglibatan golongan muda dalam sektor berkenaan bukan sahaja membuka ruang kepada mereka membina perniagaan sendiri, malah memberi kesan positif kepada perkembangan ekonomi.
Mengulas perkembangan industri F&B tahun ini, beliau berkata, sektor makanan memainkan peranan penting dalam menyokong industri pelancongan negara kerana makanan antara perkara yang dicari pelancong ketika berkunjung ke Malaysia.
“Apabila pelancong datang ke Malaysia, selain memerlukan pengangkutan dan penginapan, mereka juga perlu makan. Malah, pelancong yang menginap di hotel lazimnya turut keluar mencari tempat makan.
“Jadi, industri makanan kita sangat penting dalam menyokong sektor pelancongan,” katanya.
The post Usahawan muda perlu berani pelbagaikan konsep perniagaan appeared first on Kosmo Online.






