KUALA LUMPUR - Usahawan Bumiputera perlu bergerak melangkaui peranan tradisional sebagai pembekal dengan meneroka peluang dalam industri bernilai tinggi, termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Izwan Zainuddin berkata, peningkatan dana pembiayaan agensi itu kepada RM500 juta menerusi Belanjawan 2027 akan memperkukuh usaha membantu usahawan mengembangkan perniagaan.
Menurutnya, perkembangan industri berteknologi tinggi membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan keupayaan, meneroka pasaran baharu dan bersaing pada peringkat global.
“Usahawan Bumiputera hari ini sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh, bukan sekadar sebagai pembekal, tetapi sebagai peneraju industri yang memacu inovasi dan automasi bertaraf global.
“Tanggungjawab PUNB adalah untuk memastikan mereka mendapat sokongan setimpal dengan cita-cita tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, sokongan kepada usahawan tidak seharusnya tertumpu kepada pembiayaan semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik yang dapat membantu perniagaan berkembang secara mampan.
Sehubungan itu, PUNB akan memperkukuh sinergi dengan agensi kerajaan lain bagi memastikan bantuan yang disediakan memberi kesan langsung kepada usahawan.
Dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, dana pembiayaan PUNB dinaikkan kepada RM500 juta daripada RM350 juta sebelum ini.
PUNB menyifatkan peningkatan itu sebagai pengiktirafan terhadap peranannya dalam memperkasa ekonomi Bumiputera, selaras dengan agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35).
Menurut Izwan, langkah itu turut meneruskan komitmen kerajaan yang dinyatakan pada Majlis Perasmian SPark 2026, apabila keberkesanan program pembiayaan PUNB diiktiraf dan penambahan dana dipertimbangkan berdasarkan prestasi pelaksanaannya.
Sepanjang 2026, PUNB menyusun semula skim pembiayaan perniagaan menerusi PROSPER GROW, PROSPER GREAT dan PROSPER IMPACT/NOVA bagi memperkukuh pendekatan sokongan kepada usahawan.
Tiga produk baharu turut diperkenalkan di bawah PROSPER GROW, iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP dan PROSPER GROW AUTO BIZ untuk meluaskan akses pembiayaan mengikut peringkat perkembangan perniagaan.
PUNB berkata, usaha berkenaan akan diteruskan bagi menyokong aspirasi Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13, dengan tumpuan kepada daya saing serta kejayaan jangka panjang usahawan Bumiputera.





