Usahawan veteran ATM disaran jadi mentor kepada veteran lain

30 Jun 2023 • 11:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

ARAU, 30 JUN: Usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah berjaya boleh menjadi mentor kepada veteran baharu yang berminat menceburi bidang itu sebagai kerjaya selepas tamat perkhidmatan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata usahawan veteran ATM boleh memberi motivasi dan berkongsi pengalaman kejayaan mereka dengan veteran lain menerusi medium seperti karnival keusahawanan.

Beliau menyeru kepada veteran yang ingin menceburi bidang keusahawanan, pertanian dan perladangan, agar tampil dan mendapatkan bantuan khidmat nasihat, geran padanan, dana pembiayaan dan fasiliti yang bersesuaian daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

“Bagi melicinkan usaha menyalurkan bantuan kepada veteran, saya menggesa individu untuk mendaftar diri dengan JHEV,” katanya kepada pemberita selepas melawat empat veteran ATM menerusi Program Peduli Veteran (PPV) bersama Ketua Pengarah JHEV Mej Jen Zambery Jefry Darus dan persatuan-persatuan Veteran Negeri Perlis di sini hari ini.

Adly berkata PPV merupakan satu daripada inisiatif kementerian yang memberi fokus kepada veteran dan keluarga tanggungan khususnya dalam aspek kebajikan agar diberi perhatian sewajarnya dan kaedah itu juga membolehkan kementerian menyantuni dan mendengar keluh-kesah veteran secara bersemuka.

“Selain itu, kementerian juga dapat mengenal pasti usahawan veteran yang berjaya di lapangan masing-masing yang boleh menjadi motivasi dan inspirasi kepada veteran-veteran lain serta masyarakat,” katanya.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved