
Kota Kinabalu: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) mengekalkan pendirian membantah pembinaan Patung Mazu berhampiran Masjid Daerah Kudat, kerana boleh mengganggu khusuknya ibadah umat Islam.
Yang Dipertua Usia, Datuk Sapawi Haji Ahmad berkata ketetapan yang dinyatakan kali ini adalah konsisten dengan pendirian Kepimpinan Usia sebelum ini, iaitu membantah sekeras-kerasnya pembinaan Patung Mazu di tapak asal yang dicadangkan berhampiran Masjid Daerah Kudat, pada tahun 2005.
Sapawi mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap usaha untuk meneruskan pembinaan patung itu.
“Bukanlah niat Usia untuk menghalang usaha Kerajaan Negeri menarik kemasukan pelancong ke Negeri Sabah termasuk ke daerah Kudat, tetapi yang mesti diberi keutamaan adalah sensitiviti dan kemaslahatan umat Islam itu sendiri,” katanya.
Difahamkan Kerajaan Negeri pada ketika isu Patung Mazu heboh dipertikaikan, telah menyediakan tapak yang sesuai untuk patung itu, tetapi tiada usaha untuk menyahut tawaran berkenaan.
Kini, ada pihak yang cuba mengetengahkan semula pembinaan Patung Mazu dengan pelbagai alasan.
“Justru, sekali lagi Usia menyatakan pendirian tegas membantah sekeras-kerasnya pembinaan Patung Mazu di tapak asal yang dicadangkan,” katanya.
Sementara itu, aktivis masyarakat dan pendakwah Islam, Haji Hassan Wahab turut menyatakan pendirian sama.
Hasan yang juga bekas Pegawai Tadbir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kudat Sabah merayu kepada Ketua Menteri supaya patung itu tidak dibina di tengah-tengah bandar.
“Isu itu timbul apabila Sabah, di bawah pimpinan Tan Sri Musa Aman menerima banyak permintaan daripada pemimpin Islam Kudat agar idea itu dimansuhkan.
“Ia juga diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2010 di mana seorang lagi bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat merayu terhadap keputusan kerajaan negeri menukar kelulusan yang diberikan sebelum ini berhubung pembinaan patung Mazu (Dewa Laut) setinggi 30 meter di bandar Kudat ditolak.
“Tidak timbul isu kebebasan beragama, kerana agama lain tidak pernah dihalang daripada mengamalkan agama masing-masing, dan tidak pernah ada halangan untuk mendirikan rumah ibadat masing-masing.
“Malah, kami di Sabah terus mengamalkan agama masing-masing secara harmoni di negeri ini,” tegas Hassan.
Chong baru-baru ini menegaskan bahawa patung yang diperbuat daripada 408 keping granit itu “akan mencerminkan tahap toleransi di negeri ini”.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
