Usia Bukan Penghalang Capai Kejayaan, Pak Andam 14 Cucu Bangga Terima Skrol Konvokesyen TVET [Video]

12 Nov 2026 • 6:14 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Usia Bukan Penghalang Capai Kejayaan, Pak Andam 14 Cucu Bangga Terima Skrol Konvokesyen TVET [Video]

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bila sebut tentang pendidikan khususnya peringkat tertinggi, ramai yang mengaitkannya dengan golongan muda.

Sedangkan ada juga warga emas yang masih bersemangat menyambung pengajian sama ada dalam bidang akademik mahupun kemahiran meskipun usia telah lanjut.

Pak Andam Bangga Berdiri Bersama Graduan Muda Terima Skrol Konvoksyen TVET

Baru-baru ini, seorang graduan yang juga merupakan datuk kepada 14 orang cucu, Megat Mat Akhir Megat Mohamad bangga dengan pencapaian yang dimilikinya pada usia 58 tahun.

“Perasaan saya bercampur baur tetapi lebih kepada bangga kerana dapat berdiri sebaris dengan graduan lain yang lebih muda.

“Ia membuktikan usia bukan penghalang untuk mencapai kejayaan walaupun umur saya sudah melebihi separuh abad,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Megat Mat Akhir atau juga dikenali sebagai Megat Tan merupakan salah seorang penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Seni Solekan dalam Majlis Konvokesyen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semalam (11 November).

Jelasnya yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang solekan, peluang naik ke pentas dan menerima skrol pengajian memberi makna yang cukup besar.

“Bagi orang lain mungkin ia sekadar satu majlis konvokesyen biasa tetapi bagi saya, ia detik yang paling dinantikan.

“Mana tidaknya, saya datang dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang ini tetapi kembali menjadi seorang penuntut dan akhirnya graduan dalam usia begini.

“Kepuasan itu sukar digambarkan dengan kata-kata apabila melihat usaha, masa dan komitmen untuk mengikuti pembelajaran akhirnya membuahkan hasil.

“Hari ini saya tak hanya menerima sijil, tapi membawa pulang satu pengalaman dan kenangan yang sangat berharga dalam perjalanan hidup saya,” katanya.

Sambung Pengajian Kerana Tak Suka Berada Di Zon Selesa

Kongsi Megat Tan, dia bukanlah seorang yang suka berada di zon selesa dan kerana itulah dia membuat keputusan untuk menyambung pengajian di peringkat SKM.

Jelasnya yang sebelum ini pernah tular di media sosial, pengalaman belum cukup untuk menjadikan seseorang itu terus berkembang meskipun dia sendiri mempunyai pengalaman lebih empat dekad dalam bidang andaman dan tatarias pengantin lelaki.

“Saya sambung pengajian bukan kerana saya tidak tahu bersolek tetapi mahu memperkukuh ilmu dan pengalaman yang ada selama ini dengan pembelajaran lebih tersusun dan diiktiraf.

“Saya mahu membuktikan bahawa seseorang yang sudah lama berada dalam industri tidak seharusnya berhenti belajar.

“Sebaliknya, semakin lama kita berada dalam sesuatu bidang, semakin banyak perkara yang perlu kita pelajari.

“Bagi saya, sijil diterima bukan sekadar sekeping kertas namun pengiktirafan terhadap usaha dan kesungguhan saya untuk terus memartabatkan bidang seni solekan,” jelasnya.

Akui Tidak Mudah Bahagikan Masa Namun Harus Bijak Susun Jadual

Megat Tan yang mempunyai 12 orang anak dan 14 cucu mengakui bahawa bukan mudah untuk membahagikan masa apabila terikat dengan komitmen kerja, pembelajaran serta keluarga.

Jelasnya, jadual kerjanya dalam bidang perkahwinan ada kala tidak menetu dek kerana pelanggan mempunyai tarikh dan waktu majlis mereka sendiri.

“Pada masa yang sama, saya juga perlu memberikan komitmen terhadap kelas dan tugasan pembelajaran.

“Bagaimanapun, saya sedar apa yang penting adalah disiplin, perancangan dan keutamaan.

“Jadi, saya perlu bijak menyusun jadual supaya tanggungjawab terhadap pelanggan tidak terabai dan komitmen sebagai penuntut dapat diselesaikan,” katanya.

Akui Ada Rasa Kekok & Letih Berbanding Penuntut Yang Lebih Muda

Malah sebagai manusia biasa, Megat Tan turut mengakui berasa letih kerana sediri dirinya tidak lagi muda berbanding penuntut lain.

Tambahnya lagi, dia juga pernah berasa kekok dalam suasana pembelajaran bersama golongan muda memandangkan dia sendiri telah lama meninggalkan alam persekolahan namun perasaan kekok itu hanya dirasai pada peringkat awal.

“Lama-kelamaan, saya sedar apabila kita datang untuk belajar, kita perlu mengetepikan soal usia.

“Saya juga tidak malu untuk bertanya sekiranya ada perkara yang kurang difahami. Bagi saya, lebih baik bertanya dan mendapatkan ilmu daripada berpura-pura tahu.

“Saya selalu ingatkan diri sendiri, jangan biarkan ego menghalang kita daripada menuntut ilmu. Di dalam kelas, saya sama saja seperti penuntut lain.

“Saya datang bukan untuk menunjukkan pengalaman dimiliki tetapi belajar sesuatu yang baru,” kongsinya.

Pada masa sama, dia bersyukur kehadiran keluarga menjadi penguat serta tulang belakang buat dirinya mencapai tahap ini.

Harap Golongan Seusianya Terus Menuntut Ilmu Selagi Ada Minat & Kudrat

Megat Tan turut berharap agar golongan seusianya tidak malu serta merebut peluang untuk menyambung pengajian selagi ada minat dan kemampuan.

“Buat golongan muda, gunakanlah peluang yang ada untuk menimba ilmu dan kemahiran. Jangan terlalu cepat berasa selesa apabila sudah mempunyai sedikit kejayaan sebaliknya belajar kerana dunia sentiasa berubah.

“Kepada mereka yang sudah berusia pula, jangan pernah berasa peluang belajar sudah tertutup kerana selagi kita bernafas dan masih mempunyai kemampuan, teruskan menuntut ilmu.

“Saya juga berpengalaman namun masih sanggup duduk di dalam kelas, menyiapkan tugasan dan menerima tunjuk ajar daripada tenaga pengajar.

“Ia kerana saya mahu orang melihat bahawa belajar bukan hanya untuk mendapatkan pekerjaan atau sijil semata-mata tapi inisiatif memperbaiki diri dan meningkatkan nilai sesuatu kemahiran yang kita miliki.

“Saya percaya, kita mungkin semakin berusia tetapi jangan biarkan semangat untuk menuntut ilmu turut menjadi tua.

View this post on Instagram

A post shared by Tan Megat Pak Andam (@tanmegat_pakandam)

Simpan Hasrat Jadi Tenaga Pengajar Di Akademi Sendiri & Bangunkan Produk Solekan

Pada masa sama, Megat Tan berhasrat mahu menjadi tenaga pengajar dan membuka kelas atau akademi untuk memberi peluang kepada golongan muda mempelajari seni tatarias pengantin lelaki.

Malah, dia juga menyimpan impian untuk membangunkan produk solekan jenama sendiri dan membawa nama sebagai Pak Andam ke peringkat lebih tinggi.

“Saya mahu seni tatarias pengantin lelaki bukan sekadar dilihat sebagai satu perkhidmatan sampingan dalam majlis perkahwinan tetapi sebagai kerjaya juga bidang kemahiran profesional yang mempunyai nilai dan masa depan,” jelasnya.

Sebelum ini, Megat Tan pernah tular di media sosial kerana sering berkongsi kandungan menata rias pengantin lelaki.

Baca Artikel Berkaitan: “Tahniah Ayah!” – Kejayaan Bapa Berjaya Genggam PhD Pada Usia 81 Tahun Jadi Inspirasi Buat Si Anak

Baca Artikel Berkaitan: Warga Emas Genggam PhD Pada Usia 79 Tahun Jadi Inspirasi Ramai

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved