
Siapa sangka, pada usia lebih 60 tahun masih lagi boleh menghabiskan larian sejauh 30 kilometer dalam keadaan berkaki ayam?
Itulah kehebatan seorang pelari veteran dikenali sebagai Pakcik Ariffin yang berjaya menamatkan laluan denai berlumpur dalam acara Malaysia Taman Negara Ultra 2026 dengan catatan masa 7 jam 32 minit 36 saat.

Menerusi hantaran pengguna Threads, @msmuhdsyawall, Pakcik Ariffin dilihat berlari tanpa kasut dan hanya mengenakan jam tangan biasa sepanjang menyertai acara tersebut.
Lebih mengagumkan, beliau berjaya menduduki tempat ke-72 keseluruhan daripada 326 peserta yang mengambil bahagian dalam acara larian berkenaan.
Kejayaan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial yang kagum dengan ketahanan fizikal dan semangat juang pelari veteran berkenaan.
“Takde pole, takde kasut, takde jam. Yang penting semangat,” komen seorang pengguna Threads.
Bukan Sahaja Hebat Berlari, Mampu Berkayuh Lebih 100 kilometer
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Threads, @razifpachie, mendedahkan bahawa Pakcik Ariffin atau nama sebenarnya Haji Ariffin merupakan rakan berbasikalnya pada hujung minggu.

Menurutnya, Haji Ariffin bukan sahaja mampu mengikut kayuhan melebihi 100 kilometer, malah boleh mengekalkan kelajuan purata antara 30 hingga 34 kilometer sejam.
“Haji Ariffin merupakan rakaberbasikaln saya pada hujung minggu. Beliau mampu mengikut kayuhan melebihi 100 kilometer, malah boleh mengekalkan kelajuan purata antara 30 hingga 34 kilometer sejam.
“Beliau berasal dari Kampung Baru, Jerantut dan bakal menyertai acara Ironman 70.3 di Langkawi. Saya sendiri tidak pasti sudah berapa kali beliau menyertai acara tersebut,” katanya.
Untuk rekod, Ironman 70.3 merupakan acara sukan ketahanan yang menggabungkan tiga disiplin, iaitu berenang sejauh 1.9 kilometer, berbasikal sejauh 90 kilometer dan berlari sejauh 21.1 kilometer.
Baca juga:Usia Bukan Bukan Penghalang Untuk Kekal Aktif
Keupayaan Haji Ariffin mengharungi cabaran sukan ketahanan pada usia lebih 60 tahun sememangnya mengagumkan, apatah lagi beliau masih aktif dalam aktiviti yang memerlukan stamina dan daya tahan fizikal yang tinggi.
Kisahnya turut mengingatkan orang ramai bahawa usia bukan semestinya penghalang untuk menjalani kehidupan aktif dan mencabar kemampuan diri.
Walaupun setiap individu mempunyai tahap kecergasan dan kemampuan yang berbeza, semangat Haji Ariffin boleh dijadikan inspirasi untuk terus menjaga kesihatan, kekal aktif dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar sesuatu matlamat.
Kadangkala, perkara yang paling mengagumkan bukanlah seberapa pantas seseorang sampai ke garisan penamat, tetapi kesanggupannya untuk terus melangkah meskipun perjalanan yang ditempuh penuh cabaran.

