
PERTUBUHAN Islam Seluruh Sabah (Usia) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Sabah membantah tegas penganjuran program Israel & New Breed – Till The Whole World Knows Tour 2026 yang dijadualkan berlangsung di Hakka Hall pada 22 Oktober depan.
Dalam kenyataan media bersama, Usia dan NGO-NGO Islam Sabah berkata bantahan itu bukan berkaitan soal agama atau bangsa sebaliknya berhubung kehadiran dan pendirian artis Israel Houghton (gambar) di konsert itu terhadap Israel yang boleh disemak menerusi hantaran media sosialnya sendiri.
Menurut kenyataan berkenaan antara hantaran berkenaan memaparkan simbol Israel bersama kenyataan yang menunjukkan sokongan terhadap Israel dan doa untuk keamanan Jerusalem.
“Pendirian terbuka sedemikian mempunyai implikasi dari sudut sensitiviti masyarakat khususnya ketika dunia menyaksikan penderitaan berterusan rakyat Palestin.
“Usia dan Ngo-Ngo Islam Sabah menghormati kebebasan beragama serta menolak sebarang bentuk kebencian terhadap mana-mana agama, bangsa atau komuniti.
“Namun begitu kebebasan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai keperluan untuk menerima atau menormalisasikan setiap pendirian politik atau sokongan terhadap pihak yang sedang menjadi pertikaian serius dalam isu kemanusiaan antarabangsa,” katanya.
Usia dan Ngo-Ngo Islam Sabah turut berpandangan Sabah mempunyai identiti masyarakat yang menjunjung keamanan, keharmonian, toleransi dan nilai kemanusiaan sejagat.
Sehubungan itu mereka menggesa pihak berkuasa serta agensi berkaitan meneliti semula segala kelulusan, permit dan aspek penganjuran program berkenaan termasuk kedudukan serta kenyataan awam artis terbabit.
Mereka berkata pihak berkuasa perlu menggunakan bidang kuasa yang ada bagi memastikan sebarang program yang berlangsung di Sabah tidak menimbulkan ketegangan atau mencetuskan sensitiviti sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.
Dalam pada itu Usia dan Ngo-Ngo Islam Sabah memaklumkan akan membuat laporan polis sebagai bantahan serta meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.
Bagaimanapun mereka menegaskan bantahan berkenaan bukan seruan kepada kebencian, kekerasan atau tindakan terhadap mana-mana individu atas dasar agama dan bangsa sebaliknya berasaskan prinsip kemanusiaan serta keprihatinan terhadap nasib rakyat Palestin.
“Palestin bukan sekadar isu politik. Palestin adalah isu kemanusiaan,” katanya yang turut menegaskan akan terus menyuarakan solidariti kepada rakyat Palestin serta menolak sebarang usaha yang dilihat boleh menormalisasikan sokongan terhadap penindasan dan penderitaan rakyat Palestin.
Mereka pada masa sama menyeru masyarakat Sabah mengekalkan ketenangan, tidak mengambil tindakan sendiri dan menyalurkan sebarang bantahan menerusi saluran yang sah.
Houghton sebelum ini dilaporkan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Israel menerusi hantaran di akaun Instagramnya pada 8 Oktober 2023 termasuk kenyataan mengenai pendiriannya bersama Israel.
Dalam perkembangan berkaitan Ketua Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun pada Ahad dilaporkan berkata polis akan menasihati kerajaan negeri supaya menangguhkan konsert Houghton sekiranya permohonan rasmi dikemukakan dengan mengambil kira reaksi awam dan sensitiviti masyarakat ketika ini.
Beliau berkata polis sudah menerima dua laporan berkaitan program berkenaan dan akan terus memantau keadaan serta mendapatkan keterangan daripada pihak berkaitan.





