
Tuaran: Persatuan Lotud Bersatu Sabah (Usla) merayu kepada kerajaan negeri untuk memperuntukkan sebahagian daripada Bajet 2024 untuk dokumentasi budaya yang kini sangat mendesak.
Presiden persatuan itu, Datuk Raymond Tombung, berkata keperluan untuk merakam warisan budaya orang asal Sabah adalah penting memandangkan pengamalnya semakin cepat hilang.
“Yang paling mendesak adalah merakam mantera tradisional atau rina’it bobohizan atau dipanggil tantagas dalam budaya Lotud,” katanya.
“Sudah tinggal sedikit sahaja mereka yang masih hidup dan tidak lama lagi, tiada lagi yang tinggal untuk menzikirkan mantera kuno yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan pribumi sejak zaman purba.
“Generasi baharu mungkin mempunyai pegangan agama dengan kepercayaan rohani yang berbeza tetapi golongan tantagas layak mendapat penghormatan dan penghargaaan kerana pertalian mereka dengan masa lampau yang sudah jauh di belakang dan dilupakan oleh kita.
“Walaupun generasi muda kini telah menukar kepada agama baru, kecekapan bahasa dan spiritual yang kuno dari para tantagas tersebut adalah sumber pengetahuan yang kaya bagi kita orang di zaman moden,” tambahnya.
“Secara khusus, rina’it mereka adalah bahasa yang mengandungi banyak perkataan indah, luar biasa dan mistik, yang jika dikaji dan direkodkan, pasti akan memperkayakan bahasa ibunda moden.”
Raymond menekankan bahawa kerana bahasa ibunda kini semakin lenyap kerana digantikan oleh Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
“Maka, usaha untuk mengekalkannya perlu diperkukuhkan dengan mengambil banyak perkataan dan ungkapan yang indah dari rina’it tersebut.
“Penghidupan semula seni tradisional seperti kraftangan, muzik dan tarian adalah mudah, tetapi bahasa, apabila telah hilang, hampir mustahil untuk dihidupkan semula,” kata Raymond.
Oleh itu, katanya, wujud keperluan mendesak untuk mendokumentasikan rina’it tantagas bagi memperkukuhkan usaha-usaha pemuliharaan bahasa yang sedang berjalan di beberapa tempat di Sabah.
“Masalah besarnya ialah, kerja mendokumentasi memerlukan banyak tenaga, mengambil masa bertahun-tahun, dan sangat mahal untuk dilakukan oleh orang-orang bukan profesional.
“Inilah sebabnya mengapa kerja penting ini telah dilakukan hanya secara tidak konsisten, malah terabai sejak begitu lama,” jelas Raymond.
Oleh kerana itu, tambahnya, peranan kerajaan untuk mendokumentasi warisan budaya, mungkin melalui Lembaga Kebudayaan Negeri, adalah penting dalam melancarkan projek penyelidikan penuh yang dibiayai oleh kerajaan negeri, secara jangka panjang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

