GEORGE TOWN – Pasukan bola tampar lelaki Universiti Sains Malaysia (USM) Falcons baru-baru ini terus membuktikan status mereka sebagai antara pasukan terbaik apabila muncul juara Liga Sukan Komuniti (LSK) Pulau Pinang 2026 dengan rekod sempurna tanpa tewas satu set sepanjang kejohanan.
Kejayaan itu hadir hanya beberapa hari selepas USM Falcons dinobatkan sebagai Pasukan Sukan Terbaik pada Malam Anugerah Sukan USM 2026, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai kuasa baharu bola tampar di Pulau Pinang.
Dalam laluan menuju ke pentas akhir, USM Falcons mempamerkan aksi bertenaga dengan menewaskan Penang Old Boys 31-22, Itikaye VC 31-24, Ronin 31-18 dan Kandaq VC 31-30 pada peringkat awal pertandingan.
Momentum cemerlang itu diteruskan apabila mereka menewaskan Black Pearl VC 31-18 pada aksi separuh akhir sebelum menundukkan Itikaye VC 2-0 (25-19, 25-19) pada perlawanan akhir untuk mengesahkan kejuaraan.
Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan USM Falcons menamatkan keseluruhan kejohanan tanpa kehilangan walau satu set, membuktikan dominasi mereka sepanjang kempen LSK Pulau Pinang 2026.
Menurut pasukan itu, kejayaan berkenaan merupakan hasil empat tahun latihan yang tersusun, intensif dan disiplin tinggi di bawah bimbingan jurulatih, selain kekuatan mental yang diterapkan kepada setiap pemain.
Mereka turut menyifatkan segala pengorbanan, kerja keras dan semangat juang yang dipamerkan sepanjang tempoh latihan akhirnya membuahkan hasil dengan kejayaan yang membanggakan.
USM Falcons turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong dari seluruh negara yang sentiasa memberikan sokongan, doa dan kata-kata semangat sepanjang kejohanan berlangsung.
Kejayaan itu bukan sahaja mencipta sejarah baharu buat pasukan bola tampar USM, malah mengukuhkan lagi jenama USM Falcons sebagai antara pencabar utama dalam arena bola tampar negeri.




