'Ustaz, doakan isteri saya…' - Luahan pilu suami kehilangan isteri ketika lahirkan anak

26 Nov 2026 • 2:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Ustaz, doakan isteri saya…' - Luahan pilu suami kehilangan isteri ketika lahirkan anak
Zulkifli membaca doa ketika hadir dalam satu majlis di Surau Al-Hidayah, Seksyen 5, Bangi.

SHAH ALAM – “Ustaz, mohon doakan isteri saya. Dia baru sahaja meninggal dunia ketika melahirkan anak kami.”

Itu luahan pilu seorang lelaki dikenali sebagai Ammar ketika bertemu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selepas selesai majlis tahnik bayi di Surau Al-Hidayah, Seksyen 5, Bangi.

Zulkifli berkata, pertemuan singkat itu meninggalkan kesan mendalam apabila Ammar menghampirinya dalam keadaan sugul sebelum memohon agar isterinya yang meninggal dunia ketika melahirkan anak didoakan.

Menurutnya, suasana di surau berkenaan pada awalnya diselubungi kegembiraan apabila sekumpulan jemaah hadir membawa bayi masing-masing yang baru dilahirkan untuk ditahnikkan.

"Di satu sudut, ada keluarga yang sedang bergembira menyambut kelahiran cahaya mata.

"Di sudut yang lain, ada seorang suami yang sedang belajar menerima kehilangan insan tersayang, dalam saat yang sepatutnya menjadi detik paling membahagiakan buat keluarganya.

"Seorang ibu telah pergi, meninggalkan seorang anak perempuan yang baru mengenal dunia dan seorang suami yang terpaksa meneruskan kehidupan tanpa teman hidup di sisi," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu turut berkongsi hadis Rasulullah SAW yang memberikan khabar gembira mengenai kedudukan wanita yang meninggal dunia ketika melahirkan anak akan dikurnia kemuliaan syahid.

Justeru, beliau mendoakan agar segala dosa Allahyarham diampunkan, kuburnya dilapangkan dan diterangi serta ditempatkan dalam kalangan orang soleh.

“Buat suami dan seluruh ahli keluarga yang ditinggalkan, semoga ALLAH SWT mengurniakan kesabaran, ketabahan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan,” kongsinya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved